BANK Simpanan Nasional (BSN) menyasarkan pertumbuhan simpanan bersih sebanyak RM1 bilion bagi Sijil Simpanan Premium (SSP) dan SSP Edisi Khas, tahun ini.

Ketika ini jumlah simpanan SSP dan SSP Edisi Khas adalah RM1.6 bilion membabitkan 1.6 juta pelabur.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Jabatan Kewangan BSN, Frederick Siew Kin Meng, berkata pihaknya akan melaksanakan pelbagai promosi untuk menarik masyarakat terutama bukan Bumiputera menyertai kedua-dua produk itu.


“Kami dapati pelabur bukan Bumiputera kurang melabur dalam SSP kerana berpendapat ia hanya untuk Bumiputera.

“Justeru, bagi menarik lebih ramai pelabur terutama bukan Bumiputera, BSN akan menganjurkan promosi sehingga Mac depan untuk memberi peluang kepada yang berminat mengetahui lebih lanjut kelebihan menyimpan dalam SSP, termasuk SSP Edisi Khas,” katanya selepas perasmian Majlis Cabutan SSP BSN 2012 oleh Ketua Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning di Queensbay, Georgetown, semalam.

Mengulas kelebihan SSP Edisi Khas, Frederick Siew berkata, produk itu berlainan daripada SSP kerana menawarkan kadar dividen yang pasti memikat pelabur.

SSP Edisi Khas yang dilancarkan Oktober tahun lalu menawarkan kadar dividen masing-masing dua dan 2.3 peratus setahun bagi simpanan minimum RM1,000 dengan tempoh matang enam bulan dan simpanan minimum RM3,000 dengan tempoh matang 12 bulan.
“Penyimpan SSP, termasuk SSP Edisi Khas berpeluang memenangi 60 kereta mewah dan hadiah bernilai RM14 juta sepanjang tahun dengan 29 kali cabutan,” katanya.

Sementara itu, BSN menawarkan hadiah khas baru, iaitu Audi A5 2.0 bernilai RM320,000 bagi cabutan SSP Penyimpan Terbanyak untuk 2012.

Kereta mewah itu adalah tambahan kepada kereta mewah Mercedes-Benz E200 CGI, Mercedes-Benz C200 EL, BMW 320i dan BMW 520i yang ditawarkan ketika ini.

BSN menyediakan 37,000 hadiah tahun ini berbanding 30,000 tahun lalu termasuk jongkong emas, barangan kemas, pakej umrah/pelancongan, motosikal, barangan elektronik dan baucar beli-belah.