KUALA LUMPUR: Peranan wanita yang semakin penting dalam ekonomi menjurus kepada keperluan untuk meningkatkan penyertaan mereka dalam tenaga kerja dan aktiviti ekonomi bagi membolehkan pencapaian ekonomi dan sosial yang mampan serta beroperasi pada tahap tinggi.

Bagaimanapun, di sebalik sumbangan secara ketara kepada pembangunan ekonomi dan negara, wanita kekal sebagai sumber yang kurang dimanfaatkan.
Menurut Laporan Ekonomi 2013/2014 Kementerian Kewangan yang dikeluarkan hari ini, penyertaan tenaga kerja wanita di Malaysia agak rendah jika dibandingkan dengan tahap pembangunan negara, walaupun kadar enrolmen mereka lebih tinggi di peringkat pendidikan menengah dan tertiari.

Pada 2012, hanya 49.5 peratus wanita berumur antara 15 dan 64 tahun bekerja atau mencari pekerjaan, jauh ketinggalan berbanding negara serantau seperti Thailand (70 peratus), Singapura (58 peratus) dan Indonesia (52 peratus).

Peratusan ini malah makin menurun apabila golongan wanita menaiki tangga korporat ke jawatan lebih tinggi.

Dua sebab utama bagi mereka meninggalkan pekerjaan adalah untuk menjadi suri rumah sepenuh masa dan menjaga anggota keluarga.

Laporan itu juga menyebut, di kebanyakan negara maju, trend penyertaan tenaga kerja wanita menunjukkan dua puncak; pertama apabila golongan wanita menyertai alam pekerjaan selepas menamatkan pendidikan, dan kedua apabila kembali bekerja selepas tempoh pengasuhan anak.
Namun di Malaysia, kadar itu tidak meningkat semula, ditambah pula dengan persaraan awal golongan ini.

"Penyusutan dalam tenaga kerja wanita memberi implikasi yang besar terhadap pembangunan ekonomi negara, terutama pada masa kritikal ini, di mana modal insan adalah pemangkin yang mampu mempercepatkan transformasi Malaysia ke arah ekonomi maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020," demikian menurut laporan itu.

Bagi mereka yang memilih bekerja sendiri dan menyertai bidang keusahawanan, penyertaan wanita di Malaysia adalah antara terendah di rantau ini dengan hanya 19.7 peratus terbabit dalam perusahaan kecil dan sederhana.

Dilaporkan juga, 91.7 peratus dari perniagaan tersebut terlibat dalam skop feminin di sektor perkhidmatan seperti penjagaan kanak kanak dan pendidikan pra-sekolah, kecantikan dan penjagaan kulit serta latihan dan perundingan.

Antara cabaran dan halangan yang dihadapi oleh wanita Malaysia bagi menyertai pekerjaan ialah kekurangan sokongan untuk penjagaan kanak-kanak, dan kekurangan aturan kerja yang fleksibel.

Kesukaran untuk memasuki semula pasaran kerja, kekurangan wanita dalam jawatan membuat keputusan dan kelemahan perlindungan berkanun dan keperluan perubahan minda di mana wanita dilihat sebagai suri rumah dan lelaki sebagai penyara keluarga, juga antara halangannya.

Bagi menanganinya, kerajaan telah memperkenal dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk terus memperkasa pembabitan wanita dalam ekonomi.

Rancangan Malaysia Kesepuluh menyasarkan pembabitan golongan wanita dalam tenaga kerja kepada 55 peratus menjelang 2015.
Menurut laporan itu, insentif bagi meningkatkan penyertaan wanita juga meliputi penambahbaikan kualiti dengan meningkatkan bilangan wanita yang menduduki lembaga korporat dan jawatan pengurusan atasan serta menghapuskan segala diskriminasi terhadap mereka.

"Usaha ini boleh direalisasikan melalui pelaksanaan dasar kerja yang menggalakkan fleksibiliti di sektor awam dan swasta, mewujudkan suasana kerja yang lebih mesra keluarga dan juga meningkatkan penyertaan mereka dalam aktiviti keusahawanan melalui pembiayaan mikrokredit," demikian menurut laporan itu.

Di bawah Model Baru Ekonomi, melalui Inisiatif Pembaharuan Strategik bagi Pembangunan Modal Insan, satu pelan hala tuju bagi memanfaatkan bakat wanita telah dirangka dengan menggariskan langkah bagi pembangunan kerjaya golongan wanita.

"Antara inisiatif utama di bawah pelan ini termasuk menetapkan sasaran minimum 30 peratus wanita memegang jawatan pembuat keputusan di sektor korporat menjelang 2016, menambah bilangan pusat jagaan kanak-kanak serta menyediakan latihan amali dan peluang penempatan pekerjaan,” kata laporan itu.

Laporan juga menyebut bahawa menggalakkan golongan wanita berpendidikan dan berkemahiran tinggi dalam ekonomi akan meningkatkan innovasi, menambah kelebihan berbanding dan menjana pertumbuhan ekonomi tokokan kos yang kecil.

Perbezaan perspektif dan pengalaman yang diketengahkan oleh golongan wanita dalam membuat keputusan dan pelaksanaan juga akan menghasilkan hasil yang lebih baik.

Tambahan pula, penggunaan bakat wanita membantu menangani masalah kekurangan bakat dalam suasana persaingan yang sengit untuk menarik tenaga kerja yang mahir di peringkat global. - BERNAMA