CYBERJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sumbangan industri kreatif tidak harus dilihat dari sumber ekonomi semata-mata tetapi bagaimana untuk membangunkan potensi generasi muda dalam pembentukan sahsiah dan jati diri yang lebih mantap, kebudayaan tempatan serta jenama negara di peringkat dunia.

Timbalan Perdana Menteri berkata, contoh terbaik ialah kejayaan Korea Selatan mengeksport produk filem, rancangan televisyen dan muzik mereka ke merata dunia sehingga mempengaruhi generasi muda untuk mempelajari bahasa Korea bagi memahami karya kreatif yang diterbitkan.
"Saya berharap program tahunan Memperkasakan Generasi Baru ini dapat membantu industri kreatif secara keseluruhannya sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pengkesport utama produk kreatif di dunia," katanya ketika berucap merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kumpulan KRU di sini, sebentar tadi.