BANGKOK: Beratus-ratus penduduk Islam mengadakan satu perhimpunan secara aman di hadapan pejabat Perdana Menteri Thailand di sini semalam, kerana membantah langkah sebuah sekolah menengah Buddha yang melarang seorang remaja Islam memakai tudung.

Kumpulan Aman Islam menyifatkan langkah Sekolah Menengah Wat Nongjok di sini yang tidak membenarkan seorang pelajar Islam memakai tudung memasuki sekolah sebagai sikap prejudis terhadap Islam.
Tindakan sekolah itu bertentangan dengan Peraturan ke atas Pakaian Seragam Sekolah Kementerian Pendidikan yang menyatakan pelajar berhak memilih seragam mereka.

“Malah, kementerian menghantar sepucuk surat menggambarkan tindakan sekolah sebagai salah guna dan salah laku,” menurut satu kenyataan dikeluarkan kumpulan memprotes.

Mereka menuduh ada guru dan pentadbir sekolah secara berterusan enggan mengajar atau membenarkan pelajar berusia 18 tahun itu memasuki sekolah berikutan isu ‘hijab.’

Mereka mendesak Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra untuk membantu menyelesaikan isu itu. – Agensi