Barcelona: Barcelona semakin menghampiri gelaran ke-14 La Liga hari ini, tetapi keraian mungkin tidak semeriah mana memandangkan kelab itu masih berdepan cabaran getir pada aksi timbal balik Liga Juara-Juara.

Barca mendahului liga dengan kelebihan 13 mata ke atas pesaing terdekat, Real Madrid tatkala saingan hanya berbaki enam perlawanan.
Kemenangan ke atas kelab Athletic Bilbao akan melebarkan kelebihan mereka kepada 16 mata dan sekiranya Real tewas kepada penghuni tangga ketiga, Atletico Madrid, kejuaraan dalam genggaman Barca.

Kelab Catalan itu bagaimanapun akan kembali ke Nou Camp dengan fikiran tertumpu kepada cara untuk memadamkan defisit empat gol Bayern Munich empat hari kemudian. Barca dan Real dijangka menurunkan skuad simpanan bagi memberi tumpuan kepada aksi timbal balik separuh akhir minggu depan.

Skuad kendalian Jose Mourinho awal-awal lagi sudah melupakan kejuaraan liga bagi menumpukan sepenuhnya kepada saingan Eropah dan perlu bangkit daripada kekalahan 4-1 di tangan Borussia Dortmund.

Peluang terbaik Atletico

Kejuaraan awal Barca kini bergantung kepada Atletico yang sejak 14 tahun lalu, belum pernah menang pertemuan dengan tetangganya, Real. Pengendali Atletico, Diego Simeone mencabar anak buahnya untuk menamatkan kemarau berkenaan.
Anda perlu mengundur jauh ke belakang untuk mencari waktu kami bersaing bagi kedudukan liga, kata Simeone. Kami bertemu mereka dalam banyak keadaan dan ia tidak berakhir dengan baik. Sabtu (hari ini) adalah peluang baru dan kami perlu menggunakannya sebaik mungkin.
Agensi