Bas diserang, pemandu dipukul2012/07/05IPOH: Seorang pemandu bas Transit Perak Berhad dilaporkan cedera dipukul oleh empat lelaki yang menyerang bas itu di Jalan Lim Boon Seng di sini hari ini.
D Maniraja, 50, cedera di kepala dan badan akibat dipukul dengan objek keras dan dia menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Permaisuri Bainun di sini. Ketika kejadian 6.50 pagi itu, mangsa sedang membawa penumpang yang terdiri daripada lima pelajar sekolah dari Medan Kidd ke Bercham. "Ketika berhenti di simpang lampu isyarat, beberapa orang membaling batu ke arah cermin bas sehingga pecah serta mengetuk pintu bas," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh. Maniraja berkata, beliau kemudian membuka pintu bas itu lalu empat lelaki berumur lingkungan 30-an terus masuk ke dalam bas dan memukulnya di kepala dan badan dengan objek keras. Katanya, beliau dapat melarikan diri manakala lima pelajar tersebut diarah keluar oleh empat lelaki berkenaan. Katanya, bas itu kemudian dipandu seorang daripada lelaki tersebut tetapi terbabas serta merempuh tiang lampu di susur jalan berhampiran Hotel Riverfront, kira kira 500 meter daripada tempat kejadian. Semua lelaki berkenaan melarikan diri. Maniraja tidak pasti mengapa dia diserang. Jurucakap polis, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan polis sedang menjalankan siasatan. - BERNAMA |