Tidak salah guna pelbagai posisi, teknik, tetapi haram melakukan liwat

PERKAHWINAN adalah satu anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya. Islam adalah agama fitrah yang memahami naluri setiap manusia. Allah tidak menciptakan manusia semata-mata untuk menyeksa manusia, sebaliknya diciptakan manusia itu seiring dengan penciptaan sistem yang memenuhi hajat manusia.
Justeru perkahwinan itu juga satu sistem yang memenuhi fitrah seseorang manusia. Perkahwinan menghalalkan manusia menyalurkan nafsu mereka ke arah yang dikehendaki syarak.

Al-Quran membenarkan pasangan lelaki dan wanita yang sudah diijabkabulkan melakukan persetubuhan. Ayat yang diturunkan oleh Allah SWT ini, sebenarnya hadiah bagi memenuhi hajat semua makhluk.

Ayat berupa larangan pula sudah semestinya sesuatu keburukan yang dikenal pasti oleh Allah SWT. Turunnya ayat di dalam surah al-Baqarah ayat 223 yang bermaksud: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang Yang beriman.”

Di dalam ayat ini Allah SWT merestui cara persetubuhan yang dilakukan oleh seorang suami ke atas isteri dalam apa cara sekalipun. Bahkan seakan-akan isteri umpama tempat untuk melampias nafsu suami tanpa had dan batasan.

Namun sebenarnya maksud ayat ini dihuraikan secara tepatnya daripada hadis Nabi SAW sendiri. Ada had-had yang perlu dibatasi oleh seseorang isteri. Antara isu yang yang menjadi kekeliruan adalah hukum mendatangi isteri dari belakang.
Kekeliruan dalam hukum hakam agama sering berlaku dalam masyarakat, khususnya masyarakat hari ini yang kehidupannya semakin moden dan terdedah kepada cabaran globalisasi. Bagi menyelesaikan kekeliruan yang timbul, bantuan dan pandangan ulama sudah semestinya sangat diperlukan.

Terdapat beberapa kekeliruan timbul terhadap ayat 223 daripada Surah al-Baqarah yang bermaksud: “Isteri-isterimu adalah (seperti) kebun tanaman kamu, maka datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai...”

Mereka yang tidak memahami agama dengan baik mengatakan bahawa harus mendatangi isteri walaupun pada duburnya. Ini salah faham terhadap maksud nas di atas.

Walaupun terdapat sebahagian pandangan yang agak ganjil dalam membenarkan perbuatan ini seperti hujah yang menyandarkan perbuatan ini, namun khilaf atau pandangan ini ditolak majoriti ulama. Ini kerana terdapat banyak huraian daripada hadis Rasulullah SAW, pendapat ahli tafsir terdahulu dan semasa.

Kita cuba merungkai beberapa pandangan ulama yang menceritakan sebab diturunkan ayat di dalam 223 di dalam surah al-Baqarah ini.

Pertama: Pendapat Mujahid yang mengatakan ia disebabkan orang Yahudi menjauhi wanita ketika datang haid serta mendatangi wanita pada dubur ketika datangnya haid. Bahkan orang Yahudi menganggap menyentuh wanita ketika haid adalah najis. Oleh itu mereka mengasingkan mereka daripada makan, minum dan tidur bersama. Manakala orang Nasrani pula tidak mengambil berat tentang haid. Sehingga mereka tidak membezakan di antara waktu haid atau tidak. Rujuk Tafsir al-Munir Wahbah al-Zuhaily.

Kedua: Pandangan dari Jabir bin Abdillah yang menceritakan bahawa orang Yahudi beranggapan apabila seseorang lelaki mendatangi isteri (pada farajnya) dari arah belakang, maka bayi yang bakal dilahirkan akan menjadi juling matanya. Lalu turunlah ayat ini. Pendapat beliau ini dinukil daripada Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran karangan Imam al-Qurtubi.

Ketiga: Ibn Abbas mengatakan bahawa ayat ini diturunkan disebabkan sebilangan golongan Ansar yang mengikuti pandangan orang Yahudi bahawa anak akan menjadi juling jika suami mendatangi (faraj) isteri dari arah belakang.
Mereka terpengaruh kerana beranggapan bahawa orang Yahudi itu ahli kitab yang memiliki kelebihan ilmu berbanding mereka. Disebabkan itu, berlaku kes apabila sahabat Nabi SAW dari kelompok Quraisy Makkah yang berhijrah ke Madinah berkahwin dengan wanita Ansar. Apabila ia ingin melakukan persetubuhan menurut cara budaya orang Quraisy iaitu daripada hadapan, belakang dan berbaring, maka wanita Ansar itu menolak dan berkata: “Kami pada kebiasaannya bersetubuh dari arah hadapan saja. Jika tidak jauhilah daripada aku. Akhirnya berita ini sampai kepada Rasulullah SAW, lalu turunlah ayat ini.

Ulama membuat kesimpulan bahawa, penafsiran ayat ini sebenarnya membenarkan suami bersetubuh bersama isteri dari arah mana saja yang dikehendaki. Tetapi semuanya mestilah dilakukan pada lubang faraj saja.

Disebabkan itulah Imam al-Alusi dalam tafsirnya Ruh al-Ma’ani mengatakan dengan ini dibolehkan mendatangi isteri dari arah mana sekalipun asalkan masih ke arah kemaluannya.

Al-Zamakhsyari seorang mufassir yang terkenal dengan kemahiran bahasa arabnya menyifatkan ia dibolehkan dengan sebab tempat tersebut (faraj) adalah saluran sebenar dalam melahirkan keturunan.

Kenyataan hukuman ini disokong banyak hadis Nabi SAW berkenaan pengharaman mendatangi isteri melalui arah belakang (dubur). Antaranya hadis riwayat al-Tirmizi bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang kamu melepaskan angin (terkentut) maka hendaklah berwuduk dan jangan mendatangi wanita pada dubur. Maka sesungguhnya Allah SWT tidak malu dengan perkara sebenarnya.”

Juga dalam hadis riwayat al-Tirmizi yang lain menyatakan bahawa: “Allah SWT tidak melihat kepada lelaki yang mendatangi lelaki atau perempuan pada dubur.” Malah sebahagian riwayat mengatakan perbuatan suami mendatangi isteri dari arah belakang (dubur) adalah perbuatan kufur dan tergolong dalam kategori ‘liwat kecil’ seperti yang disebut dalam riwayat al-Tabrani.

Tidak menjadi masalah bagi pasangan suami isteri yang melakukan hubungan seks dengan berbagai-bagai posisi atau teknik, tetapi ia mesti halakan zakarnya ke lubang faraj isterinya. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah yang bermaksud:

“Tidak kiralah dia berjimak dalam keadaan berdiri, duduk atau meniarap (suami tindih perempuan yang meniarap) selagi tempat masuk zakar adalah faraj.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Larangan ini bukanlah bererti Islam mengongkong umatnya menikmati naluri nafsu masing-masing. Namun Islamlah yang terlebih dulu menghalang manusia daripada terus tersalah haluan dalam menentukan tempat nafsu yang sebenar. Dubur itu bukanlah tempat untuk mencari kelazatan jimak.

Dubur adalah tempat keluarnya najis, sudah pasti ia akan memudaratkan. Sedangkan wanita dalam haid sekalipun dinyatakan kotor oleh al-Quran, inikan pula dubur.

Ada pula sebahagian orang yang bertanyakan, sekiranya memasukkan zakar ke dalam dubur isteri itu diharamkan, bagaimana pula sekiranya memasukkan sesuatu objek ke dalam dubur isteri. Sama ada menggunakan jari mahupun alat tertentu.

Perkara ini dijawab beberapa ulama, antaranya Imam al-Zahabi. Dalam sebuah hadis dinukilkan Imam Az-Zahabi dalam kitabnya Al-Kabair menjelaskan Allah SWT melaknat suami yang menyetubuhi isteri masing-masing di duburnya tidak di qubulnya. Jika memasukkan alat kelamin dilaknat oleh Allah dan berdosa, maka memasukkan jari ke dalam dubur adalah sesuatu yang haram dan tidak wajar juga.

Kesimpulannya di sini, jimak itu diharuskan melalui mana-mana arah sekalipun asalkan ia di qubul bukan di dubur. Ini menunjukkan kepada kita bahawa Islam mempertahankan hak wanita dalam menikmati hidup berkeluarga.