Bayi dilambung amah masuk ICU Nina Suraya menyusukan Mohamed Hareez yang dirawat di wad kanak-kanak HTAA, semalam.
Kuantan: Bayi malang yang menjadi mangsa dera kepada pembantu rumah warga Indonesia dalam kejadian di Bukit Setongkol, di sini, Jumaat lalu dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, malam kelmarin, selepas didapati tidak sedarkan diri.

Ibu mangsa, Nina Suraya Sulaiman, 24, berkata anak sulungnya, Mohamed Hareez Mohd Zamri, empat bulan tidak menunjukkan sebarang reaksi apabila dikejutkan pada jam 8.30 malam menyebabkan beliau bergegas menghantar anaknya ke hospital.
“Malam tadi (kelmarin) keadaan Hareez begitu lemah dan keadaannya bertambah buruk apabila tidak menunjukkan tindak balas apabila saya memanggil namanya.

“Panik melihat keadaannya yang kaku, saya terus membawanya ke HTAA sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika ditemui di pekarangan hospital berkenaan, semalam.

Tiada kecederaan dalaman

Nina berkata, pemeriksaan awal melalui ujian imbasan pihak hospital menunjukkan anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan dalaman, namun rawatan susulan masih dijalankan jika terdapat kecederaan lain pada Hareez.

“Pada awalnya, Hareez ditempatkan di ICU, namun pagi tadi (semalam) dipindahkan ke wad kanak-kanak HTAA apabila tahap kesihatannya kembali stabil.
“Namun begitu doktor masih menunggu laporan x-ray sama ada Hareez turut mengalami kecederaan pada tulang akibat dilambung pembantu rumah itu,” katanya.