Mohamad Azli Ismail, 29, dan Mona Zaitun Sabri, 31, juga menadah tangan tanda syukur sebaik Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Zainal Adzam Abd Ghani, semalam membacakan keputusan mengetepikan hukuman dikenakan ke atas mereka sebelum ini oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan berkaitan dadah.
Memang gembira, sukar nak cakap kerana memang tak sangka akan bebas selepas lebih setahun dipenjarakan. Saya lega dapat menyambut Aidilfitri bersama suami dan tiga anak, kata Mona ketika ditemui di luar mahkamah.
Mereka mempunyai tiga anak, yang bongsu berusia 10 bulan dilahirkan ketika Mona di dalam penjara, manakala dua lagi, lelaki berusia sembilan tahun dan perempuan berusia tujuh tahun.
Pada 21 Oktober lalu, Mahkamah Sesyen Teluk Intan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan ke atas Azli, manakala Mona dipenjarakan enam tahun selepas didapati bersalah bersama-sama memiliki ganja seberat 276.19 gram di rumah No 22, Persiaran Mewah 2, Taman Mewah, Tapah, kira-kira jam 6.45 petang 17 Februari 2011.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Pasangan itu bagaimanapun membuat rayuan terhadap hukuman berkenaan.
Zainal Adzam membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan Azli dan Mona mempunyai hak milik eksklusif ke atas dadah berkenaan dengan rumah tempat dadah ditemui juga boleh diakses individu lain, selain pihak pendakwaan gagal menunjukkan adanya niat bersama di antara kedua-dua tertuduh melakukan jenayah itu.
Azli dan Mona diwakili peguam Ahmad Mursyid Tarmizi, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab.

Senarai Komen