Ben Ali kena hukuman penjara seumur hidup Ben Ali
TUNIS: Bekas Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh 43 penunjuk perasaan ketika kebangkitan rakyat yang mahu menggulingkan pemerintahannya, tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tentera Tunis, Hedi Ayari berkata turut menghadapi tuduhan bersama Ben Ali ialah kira-kira 40 bekas pegawainya, termasuk Jeneral Ali Seriati, bekas ketua keselamatan presiden yang menerima 20 tahun penjara.
Bekas Menteri Dalam Negeri, Rafik Belhaj Kacem menerima 15 tahun penjara manakala seorang lagi bekas Menteri Dalam Negeri, Ahmed Friaa, bagaimanapun dibebaskan.


Semua 21 orang lagi yang menghadapi tuduhan bagaimanapun dilepaskan dengan hanya Ben Ali menerima hukuman penjara seumur hidup.

Ben Ali bagaimanapun tidak hadir ketika hukuman dijatuhi ke atasnya kerana beliau yang hidup dalam buangan di Arab Saudi.

Anggota keluarga mangsa penunjuk perasaan dilihat marah dan kecewa dengan hukuman berkenaan dan mendakwa hukuman terhadap Seriati dan Kacem terlalu ringan.

Mereka juga kecewa dengan keputusan mahkamah melepaskan tuduhan ke atas Friaa.
“Semua tertuduh sepatutnya dikenakan hukuman penjara seumur hidup," kata seorang ahli keluarga mangsa.

Sebelum ini, Ben Ali turut dijatuhi hukuman penjara lebih 66 tahun atas pelbagai dakwaan termasuk menyeludup dadah dan menggelapkan wang. - AFP