Majikan swasta boleh mohon tangguh hingga 31 Disember 2013

Putrajaya: Akta Umur Persaraan Minimum 2012 yang menetapkan umur persaraan sektor swasta kepada 60 tahun akan berkuat kuasa mulai 1 Julai tahun depan.

Bagaimanapun, majikan boleh menangguhkan pelaksanaannya sehingga 31 Disember 2013 dengan membuat permohonan kepada Kementerian Sumber Manusia sebelum 28 Februari tahun depan berserta alasannya.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, dalam satu kenyataan semalam, berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan tiga hala bersama wakil majikan, pekerja selain pelbagai agensi kerajaan berkaitan.

Perlu alasan kukuh

“Majikan yang mahu menangguhkan tarikh pelaksanaan boleh memohon untuk dilanjutkan sehingga enam bulan dan permohonan ini perlu disertakan dengan alasan yang kukuh lagi munasabah.

“Semua permohonan berkaitan harus sampai kepada Kementerian Sumber Manusia tidak lewat dari 28 Februari 2013,” kata beliau.

Akta Umur Persaraan Minimum 2012 menetapkan umur persaraan minimum pekerja sektor swasta ialah 60 tahun dan majikan tidak boleh memaksa pekerja bersara sebelum mencapai usia itu.
Bagaimanapun, akta itu tidak menghalang seseorang pekerja memilih untuk bersara awal, berdasarkan apa yang termaktub dalam kontrak perkhidmatan atau perjanjian bersama (CA).

Dilulus Parlimen 17 Julai

Akta itu diluluskan Parlimen pada 17 Julai lalu dan diwartakan pada 16 Ogos.

Menurut akta itu, semua kontrak perkhidmatan atau CA yang menetapkan umur persaraan kurang daripada 60 tahun akan terbatal melainkan bagi kategori pekerja yang dikecualikan dalam akta seperti penjawat awam, perantis, pekerja dalam tempoh percubaan, pekerja asing, pekerja domestik dan sebagainya.