login|daftar
BH Facebook Komuniti ↓
WAKTU SOLAT Kuala Lumpur
SUBUH
ZUHUR
ASAR
MAGHRIB
ISYAK
6:10
13:29
16:47
19:29
20:39
SMS waktu solat
... kawasan lain
Khamis , 23 Februari 2012
bullet Set BH sebagai Laman Utama bullet Arkib Berita : Seminggu | Sejak 1991
PILIHAN ENJIN CARIAN
BH TwitterBH Facebook
Nasional
Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .

Berzikir mohon kebakaran reda
Oleh Hamzah Osman
bhnews@bharian.com.my
2010/12/29

  
  • Foto

    SEBAHAGIAN penduduk memadam kebakaran dalam kejadian di perkampungan nelayan Bukit Malut, Langkawi, malam kelmarin.

  • Foto

    SEBAHAGIAN daripada 70 rumah yang hangus dalam kebakaran malam kelmarin.

70 rumah nelayan di Langkawi hangus

LANGKAWI: Ketika orang dewasa bertungkus-lumus membantu memadamkan api dalam kebakaran besar yang memusnahkan 70 rumah di perkampungan nelayan Bukit Malut, di sini, malam kelmarin, lebih 30 kanak-kanak yang berhimpun di surau kampung itu berzikir memohon pertolongan Allah untuk meredakan api daripada memusnahkan penempatan itu.
Seorang warga emas yang juga ibu tunggal, Halijah Baharin, 60, berkata, kanak-kanak terbabit yang berusia antara enam dan 13 tahun terdiri daripada pelajar sekolah agama rakyat di kampung itu diarahkan berzikir oleh imam kampung sebagai sebahagian ikhtiar untuk meredakan api yang sedang marak.
Malah, ada di antara kanak-kanak terbabit adalah pelajar sekolah pondok yang kebetulan pulang untuk cuti persekolahan.

Surau berkenaan terletak kira-kira 30 meter dari kawasan kebakaran dan bangunan yang terselamat itu dijadikan tempat perlindungan sementara kepada mangsa kebakaran terbabit.

“Kami bersyukur kerana berkat zikir kanak-kanak terbabit selama hampir satu jam ketika kebakaran itu mendapat izin Allah, sekali gus menyebabkan api reda dan dapat dikawal daripada merebak ke lebih banyak rumah penduduk yang rapat,” katanya ketika ditemui.

Dalam kebakaran kira-kira jam 11.40 malam itu, 200 mangsa tinggal sehelai sepinggang apabila kira-kira 70 rumah di perkampungan nelayan di situ musnah dan disifatkan kejadian terburuk di daerah ini sepanjang tahun ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Ishak Hasan, berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada litar pintas dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Katanya, pasukan bomba, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPA3) dan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

Kebakaran hanya dapat dikawal sepenuhnya kira-kira sejam selepas kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat.

Tinjauan Berita Harian di tempat kejadian, lima jentera bomba bersama 40 anggota diketuai Pegawai Operasi, Yaakob Hassan, bertungkus lumus memadamkan kebakaran dengan dibantu orang ramai kerana kedudukan rumah yang berdekatan antara satu sama lain itu menyebabkan api marak dan cepat merebak.

Cuaca panas dan berangin selain tekanan air rendah menyukarkan tugas anggota bomba memadamkan kebakaran dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM1 juta.

Seorang mangsa, Hafisah Yahya, 49, yang lebih lima tahun tinggal di kawasan itu berkata, beliau tidak sempat menyelamatkan harta benda kerana ketika kebakaran berlaku, beliau sedang bersiap untuk tidur.

"Walaupun tidak sempat menyelamatkan harta benda dan dokumen penting, saya bersyukur kerana tiga anak perempuan saya berusia 12, 13 dan 16 tahun selamat," katanya yang juga seorang penjual kuih.

Sementara itu, Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kampung berkenaan, Ismail Musa berkata, kawasan itu mempunyai kira-kira 750 buah rumah dengan jumlah penduduk mencapai 2,000 orang.

"Mengikut bancian awal, sebanyak 70 buah rumah dan kira-kira 200 mangsa kehilangan tempat tinggal berikutan kejadian kebakaran kini ditempatkan sementara di surau kampung ini.

"Sebahagian besar penduduk bekerja sebagai nelayan dan beragama Islam, selain sudah lama menetap di kawasan berkenaan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


SERTAI KAMI DI FACEBOOK
iklan iklan
iklan

Peta Laman

Hak Cipta Terpelihara 2012 - Berita Harian - The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Emel kami sebarang maklumbalas.
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024 x 768 tracker