Mutakhir
Biar ICJ tentukan caj pembangunan isu pertukaran tanah KTM
2011/09/17
SINGAPURA: Penyelesaian terbaik bagi menangani isu berkaitan dengan kuantum caj pembangunan bagi pertukaran tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM) ialah dengan menyerahkan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk membuat keputusan.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Md Hussin Nayan, berkata Malaysia dan Singapura telah bersetuju membawa perkara itu kepada ICJ.
"Jika kedua belah pihak tidak dapat membuat keputusan, jadi pihak ketiga perlu membuat keputusan," katanya kepada pemberita pada satu majlis sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-54 di sini, malam tadi.
Kedua-dua negara berjiran itu bersetuju berhubung perjanjian pertukaran tanah bagi KTM dalam satu pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya Lee Hsien Loong pada September tahun lalu, di mana kuantum caj pembangunan bagi tanah landasan diputuskan kemudian.
Najib telah menerima tawaran bagi empat kawasan tanah di Marina South dan dua lagi di Ophir/Rochor sebagai pertukaran bagi tiga kawasan tanah KTM di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands, dan tiga lagi di Bukit Timah.
Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu tidak memberi persetujuan berhubung caj pembangunan yang perlu dibayar bagi tiga kawasan tanah KTM di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands.
Sebelum it, kedua-dua pemimpin bersetuju menyelesaikan isu itu dengan baik melalui Mahkamah Tetap Timbang Tara dan akan "menerima hasil timbang tara itu sebagai muktamad dan mengikat.
M-S Pte Ltd, satu usahasama antara Khazanah Nasional Bhd dan badan pelaburan kerajaan Singapura, Temasek Holdings, akan mengendalikan enam kawasan tanah Singapura bagi pembangunan bersama selepas KTM mengosongkan stesen kereta api Tanjong Pagar dan berpindah ke Woodlands.
KTM akhirnya menutup stesen kereta api Tanjong Pagar, Julai lalu.
Md Hussin berkata isu ini akan dibawa ke timbang tara dan diselesaikan secepat mungkin.
"Kita akan mengadakan beberapa siri rundingan dan berharap untuk pergi kepada ICJ," katanya.
Katanya tanah itu, yang menurut undang-undang Singapura, pemaju perlu membayar caj pembangunan.
"Kita mempertikaikannya, kita tidak berikan KTM caj pembangunan yang disertakan bersamanya. Kedudukan yang sama perlu digunapakai, katanya sambil menambah bahawa jumlah caj pembangunan itu adalah amat besar.
"Kenapa kita tidak patut bayar dan Singapura, kenapa mereka mesti kenakan caj," katanya.
Ketika ditanya sama ada terdapat kemungkinan ia diselesaikan di luar mahkamah, Mohd Hussin berkata semuanya ada kemungkinan memandangkan ia adalah satu keputusan oleh kedua-dua negara.
Di sebalik kesemua perkembangan ini, hubungan antara kedua buah negara adalah mesra dan berjalan lancar.
Beliau juga menjelaskan terdapat beberapa isu tertunggak "tetapi kami mempunyai beberapa jawatankuasa untuk berbincang mengenainya.
"Sudah tiba masanya untuk menyelesaikannya. Harga air, akses ruang udara kita oleh Tentera Udara Singapura, sempadan sekitar Pulau Batu Putih dan Batuan Tengah.
"Perbincangan projek-projek lain akan diteruskan seperti Singapura dan Johor Baharu dan projek-projek ikon di Iskandar Malaysia.
Beliau berkata semuanya kini di peringkat perbincangan.
"Beberapa isu telah lama tertunggak dan ia adalah mudah diselesaikan tetapi peringkat itu ditetapkan bagi kedua-dua menteri dan pegawai untuk meneruskan perbincangan," katanya. - BERNAMA
Komen Anda
Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.
Senarai komen