Ikut cakap pembangkang, semua kos terutama yuran pengajian, perlu ditanggung kerajaan sepenuhnya. Bunyinya sedap sekali, tapi ia mempunyai implikasi kewangan yang sangat besar terhadap kerajaan. Untuk menampung yuran pelajar baru UNISEL saja, kerajaan Selangor sudah tidak mampu, bagaimana mereka kata kerajaan perlu memberi pendidikan percuma kepada semua pelajar IPT. Dengan cadangan pembekuan itu UNISEL yang dikendalikan sepenuhnya kerajaan Selangor, patut memberi sokongan padu bagi membolehkannya membuktikan perjuangan partinya untuk menampung semua kos yuran pelajar, tanpa PTPTN.
Pelajar UNISEL boleh tanya Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliaulah yang menuntut PTPTN dimansuhkan dan kos ditanggung kerajaan. Jika ada suara pembangkang meminta pelajar jangan membayar pinjaman PTPTN, ia adalah sabotaj kepada masa depan pelajar. Begitu juga, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang berdebat supaya PTPTN diberhentikan tiba-tiba mengutuk tindakan pembekuan itu dan menuduh ia dilakukan berasaskan politik dendam. Pembangkang nampaknya keliru dengan hujah mereka. Ini menunjukkan mudahnya bercakap atau mengkritik tetapi tidak semudah untuk memberhentikan sesuatu yang mempunyai kesannya terhadap ekonomi dan sosiopolitik masyarakat.
Keputusan ini tentu tidak wajar khasnya dalam proses menjadikan Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi. Kekurangan tempat di universiti meningkatkan pengangguran, bilangan tenaga pengajar juga dikurangkan dan ramai kakitangan terpaksa diberhentikan. Kos di IPT bukan terbatas kepada yuran saja.
Bagaimana dengan kos penyeliaan semua IPT, gaji profesor, pensyarah dan kakitangan serta segala kemudahan di IPT. Ini tidak termasuk kos pembinaan universiti. Kerajaan juga perlu menampung semua perbelanjaan di sekolah rendah, menengah, vokasional dan kolej lain dengan kos yang besar. Kos kerajaan perlu dilihat dari semua aspek termasuk mengurus padang bola. Jika di rumah sendiri, kita sering menghadapi tangki bocor, kerosakan elektrik dan mentol lampu terbakar, bayangkanlah kerja penyeliaan yang perlu ditampung di semua IPT.
Lihatlah wajah anak yang diterima masuk ke universiti setiap tahun.
Mengapa perlu kita hadkan pengambilan mereka jika kos pembiayaan mereka terpaksa ditampung kerajaan sepenuhnya. Jika ibu bapa berkorban untuk masa depan anak, mereka lebih insaf untuk membalas budi kelak.
