Bila dapatan atau penemuan beberapa kajian ilmiah dibentangkan pada perbincangan meja bulat Majlis Profesor Negara di Kuala Lumpur, Rabu lalu, tidak kedengaran suara yang mencabar hasil penyelidikan berkenaan. Dapatan kajian dalam ruang lingkup sains sosial dan sains politik itu, dibentangkan oleh tokoh akademik menerusi kajian lapangan yang dijalankan oleh universiti tempatan di samping berhujah berlapikkan fakta dan data.

Sesiapa saja berhak mempersoalkan dapatan berkenaan yang secara kebetulan memihak kepada Barisan Nasional (BN) walaupun ada beberapa bahagian memberi kelebihan kepada pembangkang.
Jika mahu mempertikaikannya dari segi methodologi atau data, mereka tidak boleh dengan cakap mulut atau kenyataan tidak bersandar. Kajian perlu dicabar dengan kajian, data perlu dicabar dengan data atau selalu disebut perbandingan antara epal dengan epal. Kajian ilmiah berbeza dengan hujah politik yang biasanya mengandungi emosi.


Perbincangan meja bulat itu adalah wacana ilmiah dan bebas daripada pengaruh politik. Dapatan penyelidikan atau kajian perbandingan yang dibuat berasaskan kepada suasana sewaktu kajian dijalankan, boleh berubah berasaskan beberapa faktor lain menjelang tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Faktor calon, suasana politik dan ekonomi semasa, isu serta pengaruh kempen menjelang hari mengundi, boleh mengubah keputusan politik. Ahli-ahli panel juga percaya pengundi atas pagar yang mengandungi 25 peratus daripada jumlah pengundi boleh mengubah keputusan politik. Biasanya, golongan ini yang dianggap kumpulan berfikir, tidak terikat kepada mana-mana parti dan membuat penilaian pada saat akhir.

Persoalan mungkin timbul mengapa Majlis Profesor Negara menerusi kluster politik, keselamatan dan hal-ehwal antarabangsa (KPHEA) menganjurkan perbincangan bertemakan PRU-13: Malaysia Pilih Siapa? yang berbau politik. Ketua kluster, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, yang juga Naib Canselor Universiti Utama Malaysia (UUM), menjelaskan bahawa majlis itu berasa bertanggungjawab mendedahkan hasil kajian dari universiti, sebagai maklumat berguna kepada masyarakat.

Dengan tajuk ‘Prestasi dan Potensi BN di empat negeri’, ahli panel melihat suasana di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan, serta memasukkan juga Perak sebagai amat getir. Berasaskan keseluruhan kajian, mereka melihat Selangor dan Kedah sebagai potensi berpihak kepada BN berasaskan kaji selidik terhadap responden yang agak tinggi menyatakan mereka yakin kepada pemerintahan pembangkang. Di Kelantan dan Pulau Pinang, kajian mendapati walaupun wujud perubahan persepsi yang mana BN masih ada peluang untuk menawan semula negeri-negeri itu, faktor pengaruh tokoh pemimpin di kedua-dua negeri, masih tinggi.
Bagi sesi kedua bertajuk ‘Sabah dan Sarawak: Simpanan Tetap atau....?’, hujah ahli panel agak kritikal terhadap senario politik di dua negeri itu, tetapi yakin sukar bagi pembangkang untuk mengalahkan BN.
Ketiga-tiga tokoh akademik dari Sabah dan Sarawak ini memberi hujah tanpa berselindung secara objektif. Walaupun ia tidak sedap didengar, mereka yakin BN mempunyai peluang besar jika rakyat mendapati janji yang dijanjikan kepada mereka, sudah ditunaikan. Pemimpin Pusat dan negeri perlu menunaikan segala janji mereka, sekiranya menganggap Sabah dan Sarawak sebagai simpanan tetap bagi BN.

Sesi terakhir bertajuk ‘Dari PRU-12 ke PRU 13: BN vs PR’ Satu Penilaian’ membincangkan kedudukan sokongan kaum Cina kepada pembangkang. Menurut mereka, kaum Cina akan kembali menyokong BN jika yakin beberapa tuntutan mereka dipenuhi khasnya dalam soal pendidikan, ekonomi dan kesamarataan.