Bimbang kesan ubat BH Online

Bimbang kesan ubat

2010/06/06

Penghidap senggugut kronik alami alahan akibat pengambilan morfin, pil perancang

SAYA berumur 21 tahun, masih bujang dan tidak pernah melakukan sebarang hubungan kelamin. Saya mengalami masalah senggugut amat teruk sehingga perlu dimasukkan ke hospital hampir setiap bulan. Saya diberi pelbagai ubat tetapi masih tiada perubahan. Baru-baru ini, haid lewat hampir dua minggu. Apabila didatangi haid, saya mengalami senggugut yang sangat teruk sehingga pening, muntah-muntah dan pengsan. Apabila dihantar ke hospital, doktor memberi morfin dan disuruh untuk mengambil pil perancang.

Bagaimanapun, saya ragu-ragu untuk memakan pil berkenaan kerana sebelum ini saya sudah mengambil pil yang sama tetapi mengalami kesan sampingan iaitu sakit kepala yang teramat sangat sehingga tidak mampu untuk bangun. Apabila cuba berbincang dengan doktor, malangnya doktor masih berkeras menyuruh saya mengambil pil berkenaan. Kata doktor itu, kalau berlaku sakit kepala, makan saja pil penahan sakit.

Jadi, saya dalam dilema sekarang. Bimbang jika ubat-ubatan yang diambil akan memberi kesan jangka panjang yang buruk kepada sistem badan. Doktor juga ada mencadangkan, jika masalah ini berlarutan, pembedahan perlu dijalankan bagi mengetahui masalah sebenar senggugut yang saya alami.

Persoalannya, apakah kepentingan doktor memberi morfin semasa saya sakit dan apa kesannya? Adakah semua ubat perancang kehamilan akan menunjukkan kesan sampingan yang sama? Apa pula kepentingan untuk saya membuat pembedahan sedangkan ujian imbasan ultrasound tidak menunjukkan ada apa-apa yang luar biasa di rahim?

WAFEYA

SAYA bersimpati dengan masalah senggugut yang saudari alami. Malah, lebih 50 peratus senggugut adalah jenis senggugut primer, iaitu tidak mempunyai apa-apa punca patologi atau penyebabnya.

Saudari adalah golongan kecil, antara 10 ke 15 peratus yang mengalami senggugut yang serius. Serius di sini bermaksud kualiti hidup saudari sudah terganggu kerana senggugut. Secara saintifiknya, senggugut primer dikaitkan dengan peningkatan hormon prostaglandin selepas ovulasi berlaku.

Hormon prostaglandin ini berasal dari dinding rahim atau endometrium. Prostaglandin menyebabkan otot-otot rahim atau myometrium menjadi kejang yang berpanjangan dan juga menyebabkan saluran darah menjadi sempit. Kesan dari ini adalah senggugut yang bertambah teruk jika darah haid terlalu banyak, berketul-ketul dan selalu berlaku jika haid saudari terlewat beberapa minggu.

Apa yang doktor saudari itu sarankan adalah betul. Kami tahu masalah disebabkan pil perancang ini adalah pening, loya dan muntah. Bagaimanapun, kesan sampingan ini tidaklah berapa tinggi peratusnya dan memang benar ada sebahagian kecil pesakit akan mengalami alahan yang teruk. Ini adalah berpunca dari hormon estrogen dalam pil berkenaan.

Sekiranya saudari boleh mengambilnya dan dibantu dengan ubatan lain untuk sakit kepala, lama-kelamaan badan saudari boleh serasi dengan pil ini. Saya memang sarankan pil perancang berserta dengan ubat penahan sakit untuk wanita yang mengalami senggugut primer.

Pil hormon ini mencegah ovulasi daripada berlaku dan membantu mengurangkan peningkatan hormon prostaglandin. Pil ini juga menjadikan haid sedikit dan pendek. Hampir kesemua pil perancang yang mengandung hormon estrogen memberi kesan yang sama.

Bagaimanapun, saudari boleh mencuba pil hormon yang lain jika pil yang dicadangkan doktor itu memberi masalah. Pil tidak memberi apa-apa kesan yang buruk dan serius pada saudari selagi saudari berada di bawah pengawasan doktor.

Hormon-hormon lain yang boleh dipertimbangkan adalah suntikan MPA iaitu juga suntikan cegah kehamilan yang perlu diambil setiap tiga bulan. Saya rasa saudari pasti tidak suka dengan kesan sampingannya seperti haid yang tidak menentu, naik berat badan dan jerawat.

Saya hairan kenapa ramai wanita alami senggugut enggan mengambil ubat penahan sakit bukan steroid (contohnya Naproxen, Ibuprofen, diclofenac, Ponstan) kerana ubat-ubat ini yang dapat mengurangkan sintesis hormon prostaglandin tadi dan amat efektif.

Bagaimanapun, kita perlu waspada dengan masalah gastrik. Ubat ini perlu diambil seelok-eloknya satu hingga dua hari sebelum haid dan semasa haid sehingga senggugut hilang. Kadangkala pesakit senggugut datang dalam kesakitan yang amat sangat dan NSAID tadi lambat berkesan maka kami akan beri opiod seperti pethidine dan amat jarang sekali morfin. Ini cepat dapat melegakan senggugut. Kesan opiod ini adalah loya, muntah dan sedatif.

Walaupun senggugut primer secara amnya tidak mempunyai penyebab tetapi sesetengah kes senggugut sekunder terjadi pada remaja atau wanita yang masih muda. Senggugut sekunder mempunyai penyebabnya seperti endometriosis. Bukan semua endometriosis dapat dilihat dengan imbasan ultrasound. Endometriosis berbentuk sista (cyst) boleh dilihat dengan imbasan ultrasound, MRI atau imbasan CT (CT scan). Endometriosis yang berbentuk tompokan dalam dinding pelvis memerlukan laparaskopi iaitu pembedahan kecil di perut untuk melihat dan sekali gus memudahkan rawatan diberi.