Laman Utama » Sarawak

Bintulu tarikan baru pelancong

Oleh Matzidi Dris
mzidi@bharian.com.my
2011/04/09
Share |
TAMU Bintulu menjadi tumpuan dan pelbagai   jenis hasil tani  termasuk cencaluk dan belacan.
TAMU Bintulu menjadi tumpuan dan pelbagai jenis hasil tani termasuk cencaluk dan belacan.
Masih banyak tempat menarik belum dimaju, diperkenal kepada orang ramai

BINTULU: Biarpun Bintulu kini terkenal di seluruh dunia sebagai pengeluar gas asli luar pantai dan pusat pertumbuhan industri berat serta kawasan penting dalam pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), sektor pelancongan akan terus dieksploitasi melalui kelebihan dari segi aspek sosial, budaya dan keindahan alam sekitar. Masih banyak tempat dan tarikan menarik di bahagian ini yang mempunyai keluasan 7,220.4 kilometer persegi belum dimaju dan diperkenalkan kepada orang ramai. Menteri Muda Pelancongan dan Warisan, Datuk Talib Zulplip, berkata Bintulu yang terletak kira-kira 650 kilometer dari Kuching dan kira-kira 215 kilometer dari Sibu atau Miri serta menghadapi Laut Cina Selatan di sebelah barat, mempunyai tarikan tersendiri yang perlu diterokai.

Antara tempat menarik yang belum diperkenalkan kepada pelancong ialah Kampung Jepak, Tugu Dewan Undangan Negeri (DUN), Pasar Utama Bintulu dan Tamu Bintulu, Masjid Assyakirin, Tokong Kuan Yin Tong, Pantai Tanjung Batu, Taman Tumbina, padang golf, Taman Negara Similajau dan Pantai Tanjung Kidurong.

"Semua pihak berkaitan industri pelancongan di bahagian ini, kini sedang merangka satu pelan bagi mempromosi Bintulu sebagai destinasi percutian dan usaha ini akan dilaksanakan tidak lama lagi," katanya yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak ketika menemui penjaja dan orang ramai yang berurusan di Tamu Bintulu, di sini semalam.

Tamu Bintulu menjadi tumpuan orang ramai di bandar ini setiap hari untuk membeli pelbagai hasil kebun dan hutan, kuih-muih kering, ikan kering, cencaluk dan belacan Bintulu yang terkenal. Talib kemudian menemui penjaja di Pasar Utama Bintulu di kawasan bersebelahan yang juga menjadi tumpuan pengguna untuk mendapatkan barangan basah seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan pelbagai jenis ikan.
Beliau berkata, ramai penduduk di negara ini tidak tahu Bintulu mempunyai Tugu DUN, iaitu tempat persidangan DUN Sarawak yang pertama dan tertua di negara ini dengan persidangan pertama diadakan pada 8 September 1867.

"Di bawah pemerintahan Charles Brooke serta ketika generasi kedua keluarga Brooke dan pemerintah kulit putih di Sarawak, persidangan DUN berlangsung di sini dengan lima pegawai British dan 16 ahli kaum Melayu dan ketua kaum Melanau. Mereka membincangkan hal pemerintahan negeri dan kebajikan penduduk sepanjang persidangan berlangsung," katanya.

Katanya, batu asas tugu bersejarah itu diletakkan pada 1967 dan diperindahkan lagi dengan pembinaan menara jam serta kolam dan pancutan air pada 1987, manakala kawasan sekelilingnya dihias dengan pembinaan pagar untuk keselamatan dan kawal selia pada 1998.

"Bagi pemain golf, Bintulu mempunyai padang golf dengan 18 lubang yang mempunyai standard antarabangsa. Dengan permukaan berbukit bukau sudah tentu hamparan padang golf ini akan memberi cabaran kepada pemain golf," katanya.
Artikel Lain