Bisikan maut
Sukar terima hakikat, bayang kematian dorong pesakit kanser bunuh diri

SEBAIK seseorang disahkan menghidap barah, perkara pertama yang terpacul di minda semestinya kematian.
Barah adalah satu kumpulan penyakit besar. Penyakit ini boleh dikatakan merangkumi atau membabitkan semua jenis organ manusia termasuk kulit iaitu organ terbesar pada tubuh.

Mengikut statistik, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), barah adalah punca kematian terbesar di dunia berbanding jenis penyakit lain. Pada 2008 dianggarkan lapan juta kematian akibat barah direkodkan. Manakala tahun lalu, sejumlah 10 juta kematian dilaporkan.

Perunding Psikologi & Hipnoterapi Klinikal Pusat Perubatan Prince Court, Dr Daniel Zainal Abdul Rahman, menjelaskan, apabila memperkatakan mengenai barah dan kaitannya dengan kemurungan, ia sebenarnya satu isu yang sangat besar.

“Masalah psikologi pesakit barah biasanya akan bermula dengan kemurungan dan keduanya keresahan. Bagaimanapun kedua-duanya biasanya bergabung.

“Perkara pertama yang akan timbul ialah keresahan dan ia boleh dipaparkan secara psikologikal. Misalnya, pesakit merasa resah, tidak tentu arah dan risau.
“Tetapi semua gejala keresahan lama-kelamaan akan membabitkan fizikal kerana pemikiran mencetuskan perasaan dan perasaan mencetuskan perlakuan,” katanya kepada SIHAT.

Dr Daniel Zainal berkata, berikutan itu, dalam suasana rawatan yang ideal terutama di luar negara, sebaik pakar perubatan berdepan pesakit barah, sebaiknya wujud sepasukan doktor termasuk doktor yang bertanggungjawab, pakar psikiatri dan petugas kebajikan sosial yang sentiasa memantau perkembangan mental, emosi dan fizikal pesakit.

Dari segi langkah pencegahan, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah membawa semua sistem sokongan pesakit yang ada. Pakar akan menilai dari segi apakah sistem sokongan yang ada. Ini kerana asas kehidupan manusia sangat memerlukan hubungan interpersonal. Seperti mana yang kita semua sedar, hubungan antara manusia boleh menjadi madu dan racun.

Dr Daniel Zainal berkata, keadaan ini cukup penting kerana pesakit hanya akan berjumpa doktor sekali sekala. Namun, sistem sokongan seperti orang tersayang, ahli keluarga, saudara mara, rakan karib, persatuan dan sukarela dari badan bukan kerajaan (NGO) akan berdepan pesakit setiap hari.

Sehubungan itu, katanya, tahap mental, emosi dan fizikal sistem sokongan pesakit sangat mustahak dalam menjayakan usaha ini. Sistem sokongan inilah yang akan berdepan dengan setiap perubahan dan perkembangan negatif atau positif pesakit.

Bayangkan trauma yang dilalui bukan saja pesakit barah malah HIV/Aids, yang bukan saja berdepan dengan maut, malah kebanyakan daripada mereka perlu menerima hakikat disisih keluarga. Di sinilah peranan sukarelawan dari badan bukan kerajaan sebagai sistem sokongan cukup penting.

Menurut Dr Daniel Zainal lagi, pesakit yang baru disahkan menghidap barah lazimnya melalui beberapa peringkat konflik emosi bermula dengan kejutan dan penafian.

“Pada peringkat ini pesakit merasa hidup seolah tidak bermakna lagi. Semuanya seolah terhenti. Pelbagai persoalan timbul seperti bagaimana hidup perlu diteruskan, jika ia boleh diteruskan, mengapa ia perlu diteruskan. Bagaimanapun, kejutan dan penafian membantu pesakit bertahan dan menjadikan survival sesuatu yang munasabah.

“Rasa marah pula adalah peringkat penting dalam proses penyembuhan. Perlu diingat perasaan marah tiada hadnya ia bukan saja ditujukan kepada rakan, doktor, keluarga, diri sendiri dan orang tersayang tetapi juga Tuhan,” katanya.

Beliau berkata, pada tahap seterusnya, pesakit mula tawar menawar dengan Tuhan, sebagai contoh, jika boleh ambil nyawa dia selepas anak berkahwin atau tamat pengajian dan sebagainya.

“Selepas tawar menawar, perhatian beralih kembali kepada hakikat sebenar termasuk kesakitan dan kematian. Peringkat ini dipanggil tekanan.

“Akhirnya pesakit akan melangkah ke peringkat menerima atau reda. Menerima bermaksud akur dengan realiti bahawa pesakit perlu melalui penyakit ini bersama dengan semua kemungkinan yang hadir, sama ada suka atau tidak,” katanya.

Dr Daniel Zainal berkata, pakar juga perlu mengesan keresahan tekanan di kalangan penjaga dan anggota keluarga.

“Disebabkan itulah pihak hospital seboleh mungkin cuba membabitkan seluruh anggota keluarga bagi menjelaskan kepada mereka bahawa barah adalah prospek jangka panjang yang memberikan bebanan emosi yang tinggi kepada penjaga.

“Keresahan tekanan juga dipengaruhi oleh jenis barah yang dihidapi sebagai contoh barah tulang yang diketahui paling menyakitkan,” katanya.

Pakar psikologi menyaring pesakit barah yang cenderung untuk membunuh diri dengan melihat beberapa faktor. Pertama, gejala iaitu kualiti gejala tekanan apabila pesakit mula bercakap mengenai rasa tidak berguna, tiada harapan untuk hidup di dunia. Kedua, terfikir untuk membunuh diri dan ketiga, mula merancang dengan mengatur urusan harta serta hutang piutang.

Keempat, pesakit bercakap secara langsung mengenai kaedah dan tahap perancangan; kelima, kurang sistem sokongan sosial, diikuti sumber kewangan; mengalami penyakit kronik lain dan akhirnya peringkat kanser iaitu merujuk kepada darjah kesakitan yang dialami, faktor personaliti seperti cepat mengalah atau pejuang, tahap spiritualiti atau kepercayaan pada agama dan apakah ia membabitkan menyalahgunakan dadah dan alkohol.

Sekiranya pesakit ada menunjukkan faktor atau gejala berikut, perhatian sewajarnya perlu diberikan terutama menerusi penjaga dan ahli keluarga.

Perlu ditegaskan bahawa tekanan yang tidak dirawat juga terdedah kepada risiko membunuh diri. Ini bermakna kecenderungan membunuh diri tidak dipengaruhi satu faktor tertentu sebaliknya gabungan beberapa faktor. Apabila sampai tahap seseorang merasa harapan sudah tiada dan tiada jalan lain lagi, pakar akan memberi nasihat dan pilihan serta cara berdepan dengan masalah itu.


Semangat baru selamatkan J

SEBELUM J mengambil keputusan untuk mengakhiri hidupnya, dia lebih awal memberikan barangan berharga kepada orang tersayang. Selain itu, J memastikan suaminya mudah mencari barang di dapur dan meneliti album gambar yang menyimpan memori 42 tahun mereka bersama ketika mengelilingi dunia.

Kehidupan saat itu sungguh indah, dan bagi diri J yang menginjak usia 68 tahun, dia mahu mengakhirinya sebelum barah otak yang dihidapinya memusnahkan terus fikirannya. Pada Julai tahun lalu, J menelan dos Valium dan Dramamine yang banyak bersama alkohol akibat tidak tahan lagi dengan kesakitan yang ditanggung sejak tumor di tahap empat itu terus merebak.

J, bekas Naib Pengerusi sebuah syarikat pernah menjalani pembedahan, radiasi dan kemoterapi selama setahun. Namun, tumor barah semakin melarat dan dia ada tempoh kurang enam bulan untuk hidup. J memberhentikan rawatan kemoterapi dan mengucapkan selamat tinggal. Dia mahu mati mengikut kemahuannya di rumah dengan minda yang masih berfungsi.

Ketika itu, J menggenggam tangan suaminya dan masih berbual-bual dengannya sehingga dia mula tidak sedarkan diri di ruang tamu kediaman. Pernafasannya mula perlahan dan suaminya tahu, isterinya memilih untuk mati. Namun, biarpun merelakan, melihat keadaan isterinya pada ketika itu lebih berat daripada apa yang disangka.

Rupanya, secara kebetulan jururawat dari hospital yang merawat J berada berhampiran kediaman dan mahu singgah seketika untuk menjenguk keadaan J selepas menghentikan rawatan kemoterapi. Suaminya tahu itu bukan satu cadangan yang baik, tetapi dia sebenarnya sangat memerlukan seseorang untuk meluahkan perasaan ketika itu. Dia memberitahu apa yang sedang berlaku dan membenarkan petugas itu datang.

Tidak lama kemudian, jururawat itu tiba diikuti seorang pekerja sosial dari sebuah agensi. Panggilan kecemasan dibuat dan J akhirnya dibawa ke hospital dan berjaya diselamatkan.

Dalam situasi ini, J sebenarnya sudah menandatangani dokumen menjelaskan niat terakhirnya untuk mati dengan cara membunuh diri. Tetapi juruteknik perubatan kecemasan tidak dapat membenarkan perkara itu berlaku. Dia melakukan apa yang patut dilakukan oleh pasukan perubatan dalam keadaan kecemasan.

Menurut suaminya, ketika masih sihat, J adalah seorang yang sangat ceria, aktif bermain tenis, mengembara, gemar membaca dan bermain teka silang kata. Namun sejak mengalami tumor otak, J mengalami kesukaran untuk berjalan dan terus hilang selera makan. Malah, J juga sukar untuk fokus ketika membaca. Namun itu bukan alasan untuk membenarkan perbuatannya.

Selepas berehat beberapa hari di hospital, J akhirnya dibenarkan pulang. Dia kembali menjalani kemoterapi selain belajar mengenai pengurusan perubatan, kesakitan, mengurangkan gejala dan mendapatkan sokongan emosi.

Kini J percaya, jika pesakit mendapat sokongan dari segi pengurusan kesakitan dan gejala serta psikososial yang selayaknya serta mudah didapati, isu membunuh diri tidak akan timbul.