Ekonomi

Bisnes Dunia: FED turun penarafan ekonomi Amerika



Pertumbuhan dijangka kekal sederhana sehingga suku tahun depan

Washington: Rizab Persekutuan (FED) menurunkan taraf penilaian ekonomi Amerika Syarikat (AS) berikutan pertumbuhan yang semakin perlahan tetapi tidak menyatakan perlu ada satu lagi pakej rangsangan ekonomi.

“Aktiviti ekonomi semasa menyederhana, lebih daripada ketika separuh pertama tahun ini,” kata agensi itu pada penutup mesyuarat pengurusan tertinggi berkaitan dasar monetari semasa.

Penyelaras kadar faedah, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) berkata, ia menjangkakan pertumbuhan ekonomi kekal sederhana sehingga suku tahun akan datang dan kemudian meningkat secara beransur-ansur.

“Kadar pengangguran pula hanya akan menurun secara perlahan,” katanya.

Janji kekal kadar faedah

Agensi itu juga mengendurkan harapan pasaran hartanah kembali pulih dengan menyatakan walaupun ada beberapa petanda penambahbaikan, sektor perumahan kekal tertekan.

Namun, ia tidak mengumumkan sebarang tindakan baru untuk menyemarakkan semula ekonomi.

Sebaliknya, pembuat dasar kewangan itu mengulangi janji untuk mengekalkan kadar faedah hampir kepada sifar sehingga akhir 2014 dan sekali lagi menegaskan kesediaan mereka untuk bertindak.

Keputusan itu tidak menggambarkan langkah baru yang dijangka beberapa penganalisis dan pelabur.

Pasaran saham bertindak balas apabila Dow Jones Industrial Average jatuh mendadak selepas kenyataan Fed. Ia menamatkan dagangan susut 0.3 peratus dan berada di bawah 13,000 mata.

Pelonggaran kuantitatif

Ryan Sweet daripada Moody Analytics menyifatkan Fed tidak menyediakan lebih banyak rangsangan atau melanjutkan tempoh bagi kadar rendah sebagai ‘langkah yang agak mengejutkan’.

“Kini wujud isu kukuh kepada perubahan petunjuk kadar,” katanya sambil menambah kebarangkalian Fed melancarkan pelonggaran kuantitatif pusingan ketiga pada September adalah rendah.

FED berikrar menyediakan langkah tambahan untuk menggalakkan pemulihan ekonomi yang lebih kukuh dan peningkatan berterusan dalam keadaan pasaran pekerjaan menerusi konteks kestabilan harga.

FED mengekalkan kadar faedah rendah dalam sejarah iaitu antara sifar dan 0.25 peratus sejak Disember 2008, selain menyediakan kecairan dalam usaha untuk merangsang pemulihan daripada kemelesetan besar.

Pengerusinya, Ben Bernanke mengambil langkah tunggu dan lihat sama ada kelembapan itu sementara atau menjadi petanda keadaan lebih buruk pada masa hadapan. - AFP