Kuala Lumpur: Bayaran bonus kepada kakitangan awam dan pesara kerajaan yang diumumkan kelmarin tidak menjejaskan sasaran kerajaan menurunkan defisit fiskal negara kepada 4.7 peratus tahun ini, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, pembayarannya adalah berdasarkan kemampuan kerana kerajaan berusaha keras mengurangkan defisit fiskal tahun ini menerusi pendekatan serampang dua mata, iaitu meningkatkan pendapatan negara serta menguruskan perbelanjaan kerajaan secara cekap.
Ini boleh dicapai dengan dua cara. Yang pertama ialah memastikan kutipan hasil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam yang lebih tinggi berbanding tahun lalu.


Yang kedua pula ialah memastikan perbelanjaan kerajaan diuruskan berdasarkan konsep nilai untuk wang iaitu apabila kita boleh memotong (perbelanjaan yang tidak perlu), maka kita akan lakukannya, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Puncak Perbankan 2012 anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) di Kuala Lumpur, semalam.

Sidang puncak dua hari bertema Mencarta Hala Tuju Masa Depan Perbankan dan Kewangan Dalam Era Baru itu disertai pemimpin serta ahli perbankan dari institusi kewangan tempatan serta luar negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam dan bayaran khas RM500 kepada pesara kerajaan yang akan dibuat pada 9 Ogos ini.

Pembayaran bonus yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM2.2 bilion itu memberi manfaat kepada 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.
Ahmad Husni berkata, bagi mencapai sasaran mengurangkan lagi defisit fiskal pada masa depan, kerajaan sedang merangka bajet berasaskan hasil.

Ia mungkin diperkenalkan tidak lama lagi, katanya tanpa mendedahkan butiran lanjut berhubung cadangan jangka panjang itu.

Namun, tegasnya sasaran defisit fiskal 4.7 peratus untuk tahun ini berada pada landasan kukuh untuk dicapai malah kerajaan komited untuk terus menurunkannya lagi tahun depan sehinggalah kepada hanya tiga peratus pada 2015.

Sementara itu, Husni berkata, kerajaan masih mengekalkan sasaran pertumbuhan ekonomi antara empat hingga lima peratus tahun ini selepas mengambil kira perkembangan semasa ekonomi global.