Boon Siew Honda Sdn Bhd, pengedar motosikal Honda di Malaysia, melancarkan Honda CBR600RR siri baru, yang terdiri daripada dua varian iaitu CBR600RR dan CBR600RR C-ABS.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Satoshi Okada, berkata pelancaran dua model itu mencerminkan usaha berterusan syarikat untuk memperkenalkan motosikal berkuasa tinggi bagi pasaran tempatan.
Katanya, CBR600RR adalah langkah besar dalam kelas 600cc Supersport apabila ia dilancarkan buat julung kali pada 2003 dengan memanfaatkan input motosikal perlumbaan MotoGP ketika itu, RC211V.


Beliau berkata, CBR600RR bukan saja mentakrifkan semula parameter prestasi atas jalan dengan fleksibiliti, tetapi juga dengan peningkatan enjin berkuasa tinggi dan pengendalian yang tepat sehingga menyaksikan jentera itu memenangi Kejohanan Dunia FIM Supersports dari 2003 hingga 2008 berturut-turut.

Pada 2010, Honda turut menjadi pembekal rasmi enjin untuk kelas Moto2, dengan membekalkan jentera berkuasa berdasarkan daripada CBR600RR, sekali lagi ia membuktikan potensi dan kebolehpercayaan jentera tersebut.

Peningkatan yang berterusan di dekad lalu telah menyaksikan evolusi CBR600RR yang menjadi satu daripada jentera paling cemerlang pernah dihasilkan di gelanggang Supersports katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagi CBR600RR, tumpuan diberikan kepada casis, dengan matlamat menyediakan motosikal yang menawarkan kawalan dan pengendalian jauh mengatasi kelasnya.
Cabang omboh besar Showa songsang 41mm CBR600RR memastikan setiap perjalanan yang amat lancar di atas jalan, pada masa yang sama menawarkan hubungan tayar depan di keadaan yang terhad semasa di trek lumba.

Roda aluminium tuangan ringan, 12 jejari sebagaimana yang sama dengan CBR1000RR Fireblade juga digunakan, untuk tindak balas yang lebih baik.

Sementara itu, CBR600RR C-ABS baru direka bentuk untuk menambah baik prestasi litar lumba, digabungkan dengan keupayaan yang mampu menangani jalan berliku atau jalan di bandar.

Kedua-dua model itu dikuasakan dengan enjin 599cc yang kompak dengan penyejukan cecair DOHC 16 injap empat silinder sebaris yang menyumbang kepada pengendalian mantap motosikal itu.

Kedua-dua varian itu didatangkan dalam warna merah, putih, biru, hitam grafik dan repsol. Ia dijual pada harga antara RM80,588-RM95,388 serta jaminan daripada pengilang Honda selama dua tahun atau 20,000 kilometer.