NEW YORK: Diplomat veteran yang juga bekas Menteri Luar Algeria, Lakhdar Brahimi bakal dinamakan sebagai Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab di Syria bagi menggantikan Kofi Annan.

Bagaimanapun, rundingan dilaporkan masih diteruskan berhubung peranan wakil khas berkenaan dan bagaimana PBB boleh terus beroperasi di Syria yang kini dalam kancah perang saudara.
Mandat misi PBB di Syria akan tamat 20 Ogos ini.


Pengumuman rasmi mengenai pelantikan Brahimi, 78, dijadual dilakukan awal minggu depan, demkian menurut diplomat yang enggan namanya disiarkan.

“Kami hampir pasti Brahimi akan dilantik,” kata seorang diplomat PBB.

“Dia adalah pilihan Setiausaha Agung PBB dan namanya akan diumumkan minggu depan sebelum mandat PBB berakhir," kata seorang lagi diplomat.

Annan, bekas Setiausaha Agung PBB berkata, beliau mahu mengakhiri tugasnya itu kerana tidak mendapat sokongan antarabangsa bagi menamatkan konflik di Syria yang berlarutan 17 bulan itu.
Brahimi pernah menjadi wakil PBB di Afghanistan selepas serangan pengganas 11 September 2001 dan di Iraq selepas penaklukkan Amerika pada 2003. - AFP