Penerjun negara, Bryan Nickson Lomas yang dilabel ada kemampuan menandingi jagoan dunia jelas tidak menjelmakan sebarang ancaman apabila hanya mampu mendapat tempat ke-19 daripada 32 peserta dalam saingan pusingan awal, acara 10 meter platform lelaki.
Pusingan awal itu dimenangi juara dunia dari China, Qiu Bo yang merakamkan 563.7 dengan tempat kedua juga didominasi China apabila wakil mereka, Lin Yue mencatat 532.15.
Jurulatihnya, Yang Zhuliang, berkata anak didiknya melakukan beberapa kesilapan dalam terjunan dan ini menyebabkan dia kehilangan banyak mata untuk berada dalam posisi untuk layak ke separuh akhir.
"Dia macam gementar dalam usaha mahu melakukan yang terbaik. Dalam proses itu dia melakukan kesilapan, khususnya entry dalam air.
"Tetapi secara keseluruhan ia memberi pengalaman kepada Bryan untuk mengukur tahap terjunan di peringkat Olimpik. Dia masih perlu menguatkan diri,” katanya, semalam.
Penyudahan hambar Bryan - yang juga atlit terakhir beraksi - bererti cabaran Malaysia berakhir di Sukan Olimpik dengan kutipan satu pingat perak menerusi jaguh badminton, Lee Chong Wei dan ratu terjun, Pandelela (gangsa).
