Kangar: Sepasang remaja berusia 17 tahun nekad mengambil jalan mudah menutup aib dengan membunuh bayi luar nikah yang dilahirkan hasil hubungan sulit mereka.

Difahamkan pelajar tingkatan lima sebuah sekolah agama di Simpang Empat, di sini itu membuang bayi perempuan yang dipercayai masih bernyawa ke dalam sungai berhampiran Kampung Behor Rotan Pahit, dekat sini.
Tindakan kejam mereka terbongkar selepas remaja perempuan yang mengalami komplikasi akibat melahirkan anak bersendirian, dikejarkan ke Hospital Tunku Fauziah (HTF) untuk rawatan lanjut.


Akibat curiga sebaik mengesan tanda dia baru melahirkan anak, pihak hospital menyoalnya dan dia kemudian mendedahkan kisah sebenar termasuk tindakan teman lelakinya membuang bayi mereka ke sungai.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Haron, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu susulan laporan oleh HTF kepada polis.

Susulan itu, polis menahan teman lelaki serta sepupu remaja perempuan berkenaan yang masing-masing berusia 17 tahun. Turut ditahan, abang kandungnya yang berusia 20 tahun, dipercayai bersubahat membuang bayi itu ke sungai.

Sebaik menerima maklumat, gerakan mencari bayi dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat dijalankan bermula jam 9.20 malam kelmarin. Unit skuba menjumpainya di dasar sungai kira-kira empat jam kemudian.
Sehingga kini, empat suspek ditahan dan masing-masing direman tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya.

Zull Aznam berkata, suspek dipercayai bersubahat membuang bayi berkenaan ke sungai jam 2.30 petang selepas remaja perempuan itu melahirkannya di rumah keluarganya yang terletak berhampiran.