Bujang Saribas ‘pulang’ separuh jasad mangsa

Bujang Saribas ‘pulang’ separuh jasad mangsa

Oleh Adi Safarman
bhnews@bharian.com.my
2012/07/08

Mayat dalam keadaan ngeri ditemui di tebing Sungai Medang

Pusa: Mayat mangsa serangan Bujang Saribas, Drahman Chali, 55, yang ditemui 7 pagi semalam, hanya tinggal bahagian kiri badan dengan bahagian kanan dari paras bahu ke bawah termasuk tangan kanan dan kaki kanan hilang.

Kaki kiri mangsa pula patah dan terbelit di bahagian kepala dengan beberapa kesan gigitan buaya juga terdapat di lehernya.

Mayat Drahman ditemui dua nelayan di tebing Sungai Medang, Saribas, kira-kira 6 kilometer dari lokasi kejadian serangan di Tanjung Lilin, Pusa, Khamis lalu.

Nelayan yang menemui mayat mangsa, Samsurul Bujang, 40, dan Ramli Bujang, 31, berkata mereka terkejut apabila terserempak dengan mayat berkenaan di tebing Sungai Medang, ketika mahu pergi memotong kayu di kawasan itu.

“Sebaik sampai di seberang Sungai Medang, saya dan Ramli tiba-tiba ternampak satu objek yang agak pelik.

“Ketika kami mendekatinya, kami terperanjat mendapati ia mayat Drahman dalam keadaan mengerikan,” katanya.

Samsurul berkata, mereka menghubungi Ketua Kampung Medang untuk memaklumkan mengenai penemuan mayat itu, yang kemudian menghubungi polis.

Katanya, sebelum itu, mereka berdua turut mengalih mayat berkenaan dekat pokok nipah kerana bimbang ia dihanyutkan sungai yang begitu deras.

Beliau berkata, mereka kali pertama menggunakan laluan ke hulu sungai untuk pergi memotong kayu sebelum terserempak dengan mayat berkenaan.

BH Ahad turut menyertai anggota Polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) mengambil mayat mangsa dari lokasi penemuan pada jam 10 pagi semalam sebelum mayat itu dibawa ke jeti Pusa dan dihantar ke Hospital Betong.

Isteri mangsa, Latifah Nen, 53, diminta datang ke Hospital Betong untuk membuat pengecaman mayat, yang kemudian mengesahkan ia adalah suami beliau.