Bukan liar
Pelakon Nada Cinta nafi gambar seksi di internet

MASIH muda untuk memikirkan soal cinta, pelakon sinetron Indonesia, Mikha Tambayong, 18, menepis gosip percintaan yang digembar-gemburkan bersama Randy Pangalila.

Baginya, Randy tidak lebih daripada teman baik, apatah lagi mereka berlakon bersama dalam sinetron popular, Nada Cinta.
Nada Cinta, sinetron yang memperkenalkan Mikha atau nama sebenarnya, Moudy Mikha Maria Tambayong apabila sinetron yang disiarkan di Astro Ria itu mendapat perhatian peminat di Malaysia.

Nada Cinta bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 6.30 petang. "Saya sudah muak dengan gosip bersama Randy.

Ia sudah berlarutan bertahun-tahun lamanya. Saya masih muda, perjalanan kerjaya lakonan mahupun nyanyian masih jauh, saya belum bersedia mahu bercinta.

"Antara saya dan Randy, kami hanya teman baik. Saya sudah mengenali Randy sejak empat tahun lalu. Ketika itu, usia saya baru 14 tahun.

Bagaimanapun, saya tidak menafikan suka berkawan dengan Randy. Dia sering membahagiakan saya.
"Saya juga tidak pernah melenting dengan gosip percintaan dengan Randy yang digembar-gemburkan media Indonesia. Saya anggap ia hanyalah gurauan.

Sehingga kini, saya belum punya kekasih, masih terlalu awal untuk memikirkannya," katanya yang juga anak saudara penyanyi terkenal Indonesia, Harvey Malaiholo.

Gadis keturunan Ambon dan Menado yang pernah menerima tempias gosip apabila gambar seksinya bersama seorang teman sedang merokok disiarkan dalam blog hiburan Indonesia.

Bagaimanapun Mikha menafikan gambar berkenaan adalah dirinya.

"Saya tidak merokok, gambar itu bukan saya.

Gambar itu mula disiarkan di internet kira-kira dua tahun lalu. Saya berharap peminat tidak tertipu, gadis itu bukan saya, wajahnya berbeza dengan saya.

"Saya tidak suka gosip mengarut, saya sedaya upaya menjaga peribadi supaya tidak mencetuskan kontroversi.

Bagaimanapun, saya tidak menyangka dalam saya berhati-hati, saya tetap terkena dengan tempias gosip yang memalukan," katanya yang memulakan kerjaya pada usia 14 tahun apabila muncul sebagai model majalah.

Selain sinetron Nada Cinta, gadis keturunan Ambon dan Menado itu akan muncul dalam teater muzikal Gerimis Mengundang arahan Ahmad Idham yang bakal dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur, bermula 27 Mac hingga 8 April ini.

Pementasan teater muzikal Gerimis Mengundang kerjasama antara Erama Creative, Excellent Pictures Sdn Bhd dan Global Networks Sdn Bhd.

Teater muzikal Gerimis Mengundang diinspirasikan daripada filem Gerimis Mengundang juga arahan Ahmad Idham yang dijangka menemui penonton di pawagam pada pertengahan tahun ini. Ia adalah prekual filem Gerimis Mengundang yang mana penghujung cerita dalam pementasan ini adalah permulaan bagi versi filemnya.

"Saya teruja apabila ditawarkan berlakon teater muzikal Gerimis Mengundang. Saya akui seorang penggemar teater.

Saya sanggup terbang ke Singapura untuk menonton teater The Lion King. Saya juga pernah menyertai beberapa teater di sekolah dulu.

"Dunia teater bukan asing buat saya, cuma saya belum mendapat ruang di Indonesia.

Sudah tentu saya tidak menolak apabila produksi Malaysia menawarkan saya berlakon dalam teater muzikal Gerimis Mengundang. Saya akan berada di Malaysia selama sebulan untuk menjalani latihan dan pementasan teater ini."

Saya akui saya terkejut apabila punya peminat di Malaysia. Ketika fotografi ini dijalankan di Istana Budaya, sudah ada peminat menunggu.

Saya tidak pernah tahu sinetron Nada Cinta sudah disiarkan di kaca TV di Malaysia. Saya terharu apabila diberitahu sambutannya di luar jangkaan," katanya yang ramah berbicara.

Mikha berkata, dia tidak meletakkan soal bahasa sebagai masalah, malah dirinya tidak sabar mahu mempelajari sesuatu yang baru dalam hidup. Dalam teater muzikal Gerimis Mengundang, dirinya bukan hanya berlakon, malah akan menari dan menyanyi banyak lagu.

"Saya tiada masalah untuk menyanyi dan menari.

Awalnya, kerjaya saya bermula dengan nyanyian. Saya mempunyai dua album, Cinta Pertama dan Bekas Pacar.

Mungkin peminat di Malaysia tidak mengetahuinya memandangkan saya muncul dalam sinetron. Kalau ikutkan, jiwa saya lebih ke arah dunia nyanyian, namun nama saya melonjak naik menerusi lakonan.

Selepas lebih tiga tahun berlakon sinetron tanpa henti, sudah masanya saya berehat.

"Saya akan menumpukan perhatian pada rakaman album ketiga selepas habis pementasan teater muzikal Gerimis Mengundang. Saya sudah menyanyi sejak berusia empat tahun. Seluruh keluarga termasuk ibu bapa saya suka pada dunia nyanyian, malah mereka boleh menyanyi dengan baik. Bapa saudara, Harvey Malaiholo adalah sumber inspirasi, malah beliau adalah penyokong kuat untuk saya meneruskan kerjaya dalam bidang nyanyian," katanya.