Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata hasil siasatan dijalankan tidak menemui bukti yang boleh mengaitkan mana-mana hospital tempatan dengan kegiatan itu, malah turut meminta portal berita terbabit membetulkan fakta laporan mereka kerana dikhuatiri boleh mengelirukan orang ramai.
“Kita juga mendapati keterangan dan maklumat daripada penulis tidak banyak membantu siasatan, termasuk usaha mengesan dua mangsa terbabit, malah hingga kini tiada laporan polis dibuat oleh kedua-dua pekerja warga Bangladesh itu berhubung kejadian dieksploitasi untuk penjualan organ,” katanya pada sidang media, di pejabatnya, semalam.
Hadir sama Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.
Pada 21 September tahun lalu, Polis Bangladesh menahan lapan suspek dipercayai anggota sindiket pemerdagangan organ manusia, terutama buah pinggang di negara itu yang dipercayai mempunyai rangkaian operasi di beberapa negara di Asia Tenggara, termasuk Malaysia.
Difahamkan, sindiket terbabit menyasarkan mangsa yang buta huruf dengan setiap dijanjikan bayaran antara RM6,000 hingga RM9,000 bagi setiap buah pinggang, namun harga organ berkenaan dipercayai lebih tinggi di pasaran gelap.
Ia kemudian disusuli laporan sebuah portal berita tempatan, Mac lalu, yang mendakwa dua pekerja warga Bangladesh di Malaysia turut menjadi mangsa sindiket pemerdagangan organ manusia, dengan kegiatan itu dikatakan berlaku di hospital di negara ini.
Bakri berkata, dalam maklum balas rasmi kepada Bukit Aman melalui INTERPOL di Kuala Lumpur pada 27 Oktober 2011, Polis Bangladesh turut memaklumkan tiada hospital di negara ini terbabit dalam kegiatan berkenaan.
“Polis Bangladesh sudah beri pengesahan rasmi dan kita berharap kejadian sebegini tidak berulang,” katanya.



