Setiu: “Kami sekeluarga tergamam apabila atap rumah tercabut satu persatu akibat puting beliung hingga atap lesap dan diterbangkan angin sekelip mata,” kata mangsa ribut, Che Ismail Mohamad, 40.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi semalam, atap kediaman Che Ismail serta beberapa penduduk berhampiran di Kampung Padang Saujana di sini, diterbangkan ribut.
Berikutan itu, mangsa bersama isteri, Rosni Jusoh, 40, serta empat anak masing-masing berusia antara 14 hingga enam tahun hanya mampu berlindung menyelamatkan diri di dalam sebuah bilik sambil berpelukan kerana ketakutan ekoran angin kencang dan hujan lebat.

“Ketika itu kami semua tidur dan hanya sedar apabila terdengar dentuman dan deruan kuat dari arah luar, sebelum melihat struktur atap rumah tercabut dan diterbangkan angin.

“Dalam sekelip mata, atap rumah lesap dan air hujan terus mencurah masuk ke dalam rumah.

“Ketika itu juga bekalan elektrik terputus dan kami anak beranak terpaksa menggunakan lilin dan lampu suluh hingga awal pagi sebelum keluar untuk memaklumkan kepada jiran kira-kira jam 6 pagi,” katanya.

Beberapa rumah berdekatan yang turut dilanda ribut bagaimanapun tidak mengalami kerosakan seteruk mangsa.
Che Ismail berkata, walaupun hampir keseluruhan rumahnya musnah, dia bersyukur kerana semua keluarganya selamat walaupun terpaksa bertarung nyawa kerana bimbang struktur atap terjatuh dan menimpa mereka.

“Sebaik ribut reda, saya segera keluar sebelum mendapati hampir keseluruhan atap rumah tercabut dan rumah saya dipenuhi air,” katanya yang membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Penarik.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kampung Padang Saujana, Mohamad Yunus, berkata, kejadian itu sudah dimaklumkan kepada ADUN Permaisuri, Abd Halim Jusoh untuk tindakan lanjut.