Kuala Terengganu: Terkejut! Itulah reaksi Peter Butler sebaik dimaklumkan mengenai keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang menjatuhkan hukuman penggantungan enam bulan dan denda RM4,000 ke atasnya, semalam.

Bagaimanapun, jurulatih yang mengambil alih tugas membimbing skuad Penyu daripada Mat Zan Mat Aris itu tidak mahu mengulas lebih lanjut berhubung keputusan itu, sebaliknya mahu menunggu surat rasmi dari PBSNT, hari ini.
Saya amat terkejut dengan keputusan PBSNT, namun tidak mahu memberi komen sehingga menerima hitam putih dari persatuan, katanya.

Muslim dan Sharbinee gagal dihubungi

Ismail Faruqi Ashari yang diberi amaran keras dan denda RM1,000 atas kesalahan keluar dan pulang lewat hingga jam 3 pagi di Alor Setar pada 28 Ogos lalu juga tidak mahu mengulas lanjut berhubung hukuman dikenakan kerana masih tidak dimaklumkan secara rasmi dari persatuan.

Saya tidak memikirkan lagi sama ada mahu membuat rayuan kerana belum menerima surat rasmi dari PBSNT dan saya mahu lihat dulu surat dikeluarkan persatuan, katanya.

Usaha BH Sukan mendapatkan komen dua lagi pemain yang turut dikenakan tindakan tatatertib - Muslim Ahmad dan penjaga gawang, Mohd Sharbinee Allawee Ramli - yang dikenakan hukuman denda RM1,000 serta diberikan amaran keras gagal kerana tidak dapat dihubungi.