Nasional

CEO SSM didesak berundur



Damansara: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd Naim Daruwish didesak supaya melepaskan jawatan berikutan kegagalan menangani penggunaan dana asing oleh Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah, berkata gesaan supaya SSM menyiasat status sebenar SUARAM dibuat pada 1 Julai lalu, dan sehingga kini SSM masih tidak mengambil sebarang tindakan.


SSM tidak efektif

Beliau berkata, pendedahan JMM mengenai pemberian dana asing terbukti benar apabila Pengarah SUARAM, Dr Kua Kia Soong mengesahkan perkara itu seperti yang disiarkan oleh akhbar berbahasa Inggeris kelmarin.

“SSM nampaknya tidak lagi efektif dalam mengawal selia syarikat berdaftar dengan mereka dan kegagalan mereka mengambil sebarang tindakan terhadap SUARAM menampakkan lagi kelemahan ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JMM, di sini semalam.

Azwanddin berkata, pemberian dana asing dari beberapa negara kepada SUARAM itu kelihatan mencurigakan, apatah lagi ia dilakukan secara berterusan dalam jumlah yang besar.


Agenda tersembunyi

“Campur tangan asing ini pada kami membuktikan terdapat agenda tertentu didalangi kuasa luar bertujuan memporak-perandakan kestabilan dan keamanan negara. Mereka bertindak licik dengan berselindung di sebalik pihak tertentu dalam negara kita.

“JMM menentang keras perbuatan individu ini yang sanggup mengkhianati negara

dengan bersubahat bersama pengaruh asing untuk menggugat kestabilan politik yang ada ketika ini,” katanya.

SUARAM, katanya tidak layak untuk bercakap atau mengulas mengenai senario politik dan pentadbiran negara kerana mereka hanya sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan dengan modal berbayar RM2.

“Jika mereka ingin mengulas mengenai senario politik negara, atau memberi sebarang pandangan berkaitan perkara itu, mereka perlu berdaftar sebagai parti politik atau setidak-tidaknya badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.