SEREMBAN: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menyelaras jawatan kakitangan penjara agar lebih setara dengan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, ketika ini skim pangkat, gaji dan elaun yang diterima kakitangan penjara sangat jauh ketinggalan berbanding yang dinikmati anggota ATM dan PDRM yang sudah disetarakan dengan perkhidmatan awam baru-baru ini.
"Sebagai contoh, bayaran iniasiatif yang diterima kakitangan penjara adalah RM100 sebulan berbanding yang diterima anggota PDRM dan ATM iaitu RM200 sebulan.


"Kita juga menggesa kerajaan mengkaji skim gaji dan gred pengarah penjara di setiap negeri kerana kita dapati ia tidak setimpal dengan beban tugas mereka," katanya dalam sidang media selepas melawat Penjara Seremban hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menuntut bayaran iniasiatf khas dan elaun guru kemahiran dinaikkan serta membenarkan semula pembayaran kerja lebih masa kepada kira-kira 13,000 kakitangan penjara di seluruh negara.

Omar berkata, tuntutan tersebut adalah sesuai dengan bidang tugas kakitangan penjara yang berhadapan dengan bahaya dan kemungkinan ancaman dari banduan di tempat mereka bekerja.

"Selepas membuat lawatan ini saya dapati tugas mereka sangat mencabar dan berdepan dengan risiko yang tinggi setiap hari kerana perlu menjaga beratus-ratus banduan berbahaya," katanya.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa bagi membincangkan perkara itu.

"Malah CUEPACS juga akan mengadakan bengkel di Wakaf Tapai, Terengganu tidak lama lagi bagi membincangkan skim gaji anggota badan beruniform yang lain seperti kastam, imigresen, Jabatan Pegangkutan Jalan dan bahagian penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan," katanya. - BERNAMA