KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membuka cawangan ke-63 di Puchong bagi memperluaskan perkhidmatannya untuk ahli dan majikan di Lembah Klang mulai Isnin depan.

Pengurus Besar Perhubungan Awamnya, Nik Affendi Jaafar, berkata pembukaan cawangan baru itu bagi memudahkan ahli serta majikan terutamanya yang tinggal di Puchong dan kawasan sekitar, berurusan dengan KWSP.
Dalam kenyataan di sini hari ini, katanya, antara perkhidmatan yang disediakan di cawangan baru itu termasuk pendaftaran ahli dan majikan baru, menerima permohonan pengeluaran dan membekalkan penyata kira-kira ahli.

Katanya, cawangan baru itu terletak di No.19, Jalan Bandar 18, Pusat Bandar Puchong, Selangor, dan waktu operasi bermula dari jam 8.15 pagi hingga 4.45 petang, dari Isnin hingga Jumaat.

KWSP Puchong boleh dihubungi melalui talian 03-8075-4747 atau faks 03-8076-9649. - BERNAMA