Sejak beberapa waktu ini beberapa pertubuhan yang tidak menyenangi kerajaan sedia ada sedang giat berusaha membuatkan seramai mungkin rakyat membenci kerajaan Pusat mahu pun kerajaan negeri yang dikuasai Barisan Nasional (BN).

Usaha itu dilakukan menerusi pelbagai cara sebagai strategi menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan diadakan kelak. Ia gara-gara begitu tebalnya kehendak pimpinan utama gabungan longgar pakatan pembangkang yang mahu berkuasa di Putrajaya.
Ceramah politik beberapa pemimpin tertentu PAS dan PKR berterusan dipenuhi kata-kata nista dan maki hamun. Demikian juga ceramah sesetengah ustaz yang menyokong parti itu. Mereka memperkecilkan BN khususnya UMNO yang berterusan digambarkan sebagai parti yang tidak mendukung kehendak agama dan bergelumang dengan rasuah.


Pentas dakwah tidak lagi untuk mengutarakan kehendak agama tetapi sudah dicemari politik adu domba bertujuan memecahbelahkan perpaduan ummah. Ini ditambah dengan penulisan aktivis anarkis dalam PKR yang sifat semula jadinya tidak mahu wujud sebarang peraturan dengan menggambarkan sesetengah peraturan itu menindas rakyat.

Kegiatan mereka memperlekehkan lambang negara seperti Jalur Gemilang dan lagu Negaraku. Maka sebab itulah kedua-dua lambang itu diperkecilkan sebagai lambang ciplak kepunyaan orang lain.

Tindakan tidak sopan

Malah sekarang sudah ada remaja yang tidak segan-silu melakukan perkara tidak sopan seperti memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mengetepikan Jalur Gemilang dengan mengibarkan bendera lain yang didakwa sebagai bendera asal pejuang kemerdekaan pada 1930-an dulu.
Sebenarnya perlakuan memijak gambar ini, mengikut laman blog The Unspinners, bukanlah perkara baru tetapi pernah dilakukan orang kuat DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng yang kini Ketua Menteri Pulau Pinang, tidak berapa lama dulu. Malah blog itu menyiarkan gambar mereka sedang memijak gambar individu yang tidak disenangi.

Namun, pemimpin kanan PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan, mengkritik perlakuan memijak gambar itu sebagai suatu perangai yang tidak harus dilakukan orang Melayu dan orang Islam.

Kini sudah agak ramai muda mudi termasuk siswa dan siswi institusi pengajian tinggi (IPT) selain golongan profesional muda Melayu yang sudah terpengaruh dengan budaya membenci ini. Mereka tidak lagi menghiraukan kehendak Rukun Negara yang sepatutnya didukung rakyat negara ini terutama yang mempelajarinya semasa di sekolah.

Tidak hirau Rukun Negara

Bagi remaja yang berpandangan sedemikian, kehendak yang termaktub dalam Rukun Negara yang sudah terpahat begitu lama tidak dihiraukan lagi. Apakah bagi mereka ini dua daripada prinsip yang termaktub bahawa Malaysia bercita-cita mencapai perpaduan lebih erat antara rakyat berbilang kaumnya serta menjamin wujudnya tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak sudah tidak bermakna lagi?

Mungkin pengaruh melampau demikian itulah yang membawa kepada remaja dan penyokong-penyokong PKR sudah hilang pertimbangan dengan tidak lagi mendukung beberapa prinsip yang termaktub dalam Rukun Negara.

PKR sendiri pun sudah menggariskan strateginya yang diterima dalam kongresnya pada awal 2011 dulu untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang dengan mencari jalan untuk mereka mendapatkan sokongan orang Melayu serta taktik yang perlu digunakan untuk menjatuhkan BN.

Usaha laga PM, TPM

Antara taktik yang dikenal pasti ialah berusaha melaga-lagakan Najib dengan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Usaha ini sudah pun kelihatan daripada tulisan yang dimuatkan dalam blog penyokong pembangkang dan PKR.

Beberapa penceramah PAS juga sudah memainkan politik membenci yang jelas bercanggah dengan kehendak agama. Ia memberi gambaran seolah-olah bagi mereka apa pun perlakuan dibolehkan asalkan dapat mencapai matlamat mengalahkan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Puak puak ini seolah tidak menghiraukan akibat perlakuan demikian yang boleh membawa kepada kehancuran dan persengketaan khususnya di kalangan orang Melayu serta umat Islam.

Sudah banyak negara Islam di dunia ini yang menuju kehancuran dan pastinya kita tidak mahu terjerumus ke kancah sama. Sebenarnya menjadi tanggung jawab umat Islam menghalang usaha dan perlakuan sedemikian demi kepentingan dan kemajuan negara. Cendekiawan Islam seharusnya bersuara dan bangun menyatakan pendirian mereka menghalang malapetaka sedemikian daripada berlaku.