login|daftar
BH Facebook Komuniti ↓
WAKTU SOLAT Kuala Lumpur
SUBUH
ZUHUR
ASAR
MAGHRIB
ISYAK
6:10
13:30
16:47
19:29
20:39
SMS waktu solat
... kawasan lain
Khamis , 23 Februari 2012
bullet Set BH sebagai Laman Utama bullet Arkib Berita : Seminggu | Sejak 1991
PILIHAN ENJIN CARIAN
BH TwitterBH Facebook
Sastera
Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .

Cerpen: Momiji Musim Rontok
Oleh Rebecca Ilham
http://www.karyawanluarnegara.com.
2010/04/25

"OJISAN ingin mati dan dikebumikan di sini."

“Huh, orang tua penjenayah perang itu?”
“Perang telah berakhir lebih enam dekad, Hanim-san. Ojiisan telah menerima pembalasan dan telah pun sujud memohon keampunan. Masakan engkau masih kental berdendam?”
Diam. Daun-daun berbucu lima berdesir dipipis angin lalu. Segugusan gemalai meliuk sebelum mencium turapan aspal batu sungai pada sesiar kaki jambatan kecil dalam formasi rawak kusa momiji. Hanim mendongak. Pupil membulat ditujah taburan warna beraneka. Merah terang, merah muda, kuning cerah, kuning emas, coklat tanah dan perang jingga pada hujung dahan dan ranting mapel, bic, larch dan gingko gemerlap dipadukan latar langit polos. Aman dan nyaman sekali. Sejeda cuma.

Ryutaro mendehem pendek. Dia membongkok separuh, kedua belah siku dipasak pada pagar kayu merah vermilion yang membentengi jambatan kecil ikon utama Momijidani Koen, Taman Lembah Musim Rontok yang menempatkan lebih 200 batang pohon jenis deciduous. Ujana di kaki Gunung Misen itu terletak kira-kira dua puluh minit berjalan kaki dari terminal feri Pulau Miyajima, sebuah pulau kecil di selatan Hiroshima Prefektur; terkenal pula sebagai salah satu Nihon Sankei berdasarkan catatan Hayashi Razan pada tahun 1643. Selain masyhur sebagai lokasi peranginan, ia merupakan tempat suci penganut fahaman Shinto sehingga diwartakan larangan membina kemudahan hospital dan tanah perkuburan di kawasan pulau, sekali gus mengharamkan sebarang upacara kelahiran atau pengebumian.
Tetapi kata Ryutaro, datuknya ingin mati dan disemadikan di pulau sifar noda ini. Ya, si penjenayah perang itu!

Hanim menoleh ke sisi. Anak jati Hiroshima, juga rakan sekampus yang lahir lebih tiga dekad selepas kota itu lebur ditabrak bom nuklear pertama tidak berganjak biar sedar gerak-geri diperhati. Argh, tidakkah beberapa hari lalu, ketika Hanim menyampaikan khabar gembira diterima menjalani latihan industri di reaktor pengayaan uranium milik perusahaan Japan Nuclear Fuel Limited sebagai memenuhi tuntutan kurikulum Fakulti Kejuruteraan Tenaga Hiroshima Daigaku, lelaki itu membungkam juga?
“Atas sebab itu engkau menolak terus sebarang aplikasi lain teknologi nuklear?” Hanim menduga.

“Nuklear, atau nama lainnya atomik, tetap menjahanamkan dalam apa jua bentuk sekali pun.”

“Falasi! Pengayaan uranium tidak semestinya akan menjurus kepada pembuatan senjata. Jangan sesekali memutarbelit fakta, Ryu-chan!”

Ryutaro menoleh. Warna-warni daun yang ralit diteliti berganti seraut wajah bujur hati yang merah padam. Argh, masih cantik! Omelan nostalgia Ojiisan tentang kejelitaan perawan-perawan Melayu berkulit sawo matang, berbaju kurung pesak dan berkain batik yang tersohor pada tahun-tahun genting empat puluhan ternyata tepat lagi persis. Dia tersengih. Namun senyuman itu gagal menawarkan atma Hanim yang tersanggah. Gadis itu mencekak pinggang. Bahu baju panas daripada fabrik tebal ternaik di bucu.

“Untuk bertukar menjadi bahan api, uranium mesti menjalani proses pengayaan sehingga mencapai kepekatan 90 peratus. Secara semula jadi, logam uranium hanya mempunyai bijih uranium sebanyak 0.7 peratus. Unsur yang mengandungi bijih ini pula Uranium-235 atau U-235 sahaja, sedangkan dalam logam uranium wujud juga isotop lain iaitu U-238. Dengan kandungan U-235 serendah itu, uranium sekadar sejenis logam radioaktif tanpa sebarang potensi merembeskan tenaga secara spontan. Oleh itu, proses pengayaan uranium dijalankan untuk menghasilkan rod-rod uranium berkepekatan tinggi. Proses ini dilakukan melalui beberapa kaedah, namun cara yang paling kerap digunakan adalah pengemparan gas.”

Berhenti setagal. Hanim meninjau penerimaan si lawan bual. Ryutaro tidak mencelah. Sehelai daun mapel kuning melayah lalu hinggap di celahan kolar jaket tebal. Dia mengutip cermat sambil mengisyaratkan agar penerangan diteruskan. Hanim mengangguk senang.

“Teknologi pengemparan gas inilah yang akan aku dalami semasa tempoh praktikal kelak. Ia melibatkan pengasingan atom-atom U-238 daripada U-235 dengan memutar silinder berisi campuran gas uranium heksafluorida pada kelajuan tinggi. Putaran itu membentuk daya emparan yang menarik molekul-molekul gas U-238 ke dinding silinder, sementara gas U-235 pula terkumpul di tengah. Gas U-235 akan dialir ke dalam silinder lain. Proses yang sama berulang sehingga mencapai peratusan yang diingini. Bukan senang mencapai piawaian menghasilkan bahan mentah sebutir bom, Ryutaro-chan, tambahan pula Institut Tenaga Atomik Antarabangsa, agensi kelolaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu rapat pula memantau sebarang aktiviti nuklear, sama ada mencurigakan atau tidak.”

Ujaran panjang disambut jungkitan skeptikal sepasang kening. Hanim menjuihkan bibir. Tangan di pinggang dialih. Tubuh sendiri dipeluk kejap. Comel dan naïf sekali namun Ryutaro tidak betah membiarkan anganan berlarut-larut. Dia membuka mulut.

“Aku mengerti, Hanim-san. Lazimnya reaktor-reaktor di seluruh dunia menggunakan rod-rod kaya uranium untuk tujuan jana kuasa dan perubatan. Jumlah tenaga yang dihasilkan melalui tindak balas pelakuran nuklear berkali-kali ganda lebih besar daripada sumber tenaga lain. Justeru, isu uranium sebagai bahan api yang tidak boleh diperbaharui tidak timbul. Dalam aspek perubatan pula, uranium diiktiraf sebagai agen pengesan sebarang cela pada sistem dalaman tubuh manusia. Seperti yang selalu engkau hujahkan, teknologi nuklear tidak semestinya menjahanamkan di tangan-tangan yang bertanggungjawab. Tetapi engkau juga harus ingat, begitulah juga hujah para saintis di Los Alamos tatkala mereka mula bereksperimen dengan uranium. Kesudahannya, argh, tidak perlu aku menghurai panjang.”

“Maksudmu, berakhirnya Perang Dunia Kedua dan Jepun menyerah kalah, sekali gus menyaksikan pengunduran ketumbukan tentera Nihon yang turut dianggotai datukmu itu, daripada terus-terusan membuat onar di Tanah Melayu?”

Ketenangan tergugah. Jentikan nakal Hanim mengena. Sungguhpun bukan julung kali, namun bisa tetap menjalar. Ryutaro mengembungkan pipi. Udara segar ditujah masuk ke dalam rongga paru-paru. Ekor mata mengintai Hanim meraikan kemenangan secara senyap. Dia segera melarikan pandangan ke perkarangan taman yang mula sesak pengunjung sementelah waktu hampir menginjak tengah hari. Iris memetia kelibat sekeluarga tiga generasi beriringan sambil bercanda gurau; dewasa memimpin si kecil, muda menuntun yang tua - mencerminkan definisi sempurna momiji-gari, secara literal bererti ‘memburu warna musim luruh’, sebagai ritual riadah yang mendekatkan diri dengan alam, juga insan-insan tersayang. Ryutaro mengeluh, terkenang episod Hanim menarik muka tatkala dia berura-ura mengajak Ojiisan menyertai wisata.

“Engkau masih berdendam,” ulangnya keras.

“Dan engkau pula prejudis, dengan teknologi nuklear dan sesiapa jua yang menggeluti cabang ilmu yang ini,” Hanim membalas, setara tegas nada dan tona. Ryutaro ingin menafikan tetapi Hanim lebih cekap memusing tumit but kulit separas lutut. Dua wajah berbeda raut dan ciri bertatapan. Lama. Angin sarat payau masin pedalaman Laut Seto menderu. Daun-daun musim rontok – momiji – menggeletar di hujung ranting dan dahan.

“Hanya kerana engkau membaurkan sains bersama emosi, jangan tangkas menghukum aku sebagai berperasaan serupa. Imperialisme Jepun suatu masa dahulu merupakan fakta, selamanya abadi dalam lipatan sejarah Malaysia tetapi Hanim Nur tertarik dengan teknologi nuklear kerana seru tanggungjawab, bukannya dorongan kesumat.” Hanim menutur perlahan. Gemersik suara menerobos ke gegendang bagai bisikan lalang susuki diranduk laluan bayu. Ryutaro melonggarkan genggaman pada kedua belah tangan. Dia belum yakin tetapi bersiaga melapangkan pendengaran.

“Selepas tragedi ngeri pengeboman nuklear Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1946, dunia menjadi lebih sensitif dengan sepatah istilah berbunyi ‘nuklear.’ Natijahnya, selain penubuhan agensi nuklear di bawah panji PBB seperti aku sebutkan tadi, beberapa kuasa besar seperti Amerika Syarikat, garang menghalang negara-negara lain terutamanya wilayah-wilayah dunia ketiga di Asia yang sedang membangun untuk membina teknologi nuklear sendiri. Iraq sebagai contoh, telah dijarah secara ketenteraan kerana disyaki sedang membangunkan senjata pemusnah besar-besaran, sementara Iran yang baru melancarkan aktiviti pengayaan uranium pula diarah agar menghentikannya serta-merta biarpun Presiden Ahamadinejad berkali-kali menegaskan tiada sebarang senjata akan dibina, atau bakal menghadapi risiko dipulau di peringkat antarabangsa.”

“Tindakan Amerika berasas. Sebagai negara yang pernah melakukan kesilapan, ia tentunya enggan melihat sejarah tragis berulang.”

Hanim mencebik. “Sesetengah lagak, ciptaan negara ingkar semacam Amerika perlu dibaca lebih dalam daripada nilai muka, Ryu-chan. Amerika mempunyai propaganda tersembunyi untuk memastikan gelaran polis dunia tidak tergugat. Jikalau masih ragu, renungkan pula mengapa hanya negara-negara Islam dilarang memiliki teknologi nuklear?”

Ryutaro menggeleng-geleng tidak puas hati. “Tetapi negara-negara Arab seumpama Emiriyah Arab Bersatu, Arab Saudi, Algeria, Mesir, Tunisia dan Maghribi dibenarkan membangunkan program tenaga nuklear sendiri di bawah peruntukan undang-undang antarabangsa. Hak semua negara, Islam atau tidak untuk memajukan teknologi nuklear tidak pernah dicantas mana-mana pihak, Hanim-san.”

Hanim mendengus. Jengkel dan jelak bergaul. “Engkau sebetulnya merujuk kepada pemindahan teknologi, bukan pemilikan teknologi.”

Ryutaro memicing sepasang mata jeli. Kerutan mengganda di dahi. Hanim tuntas menyambung.

“Negara-negara Arab yang engkau maksudkan itu diizinkan membeli uranium mentah daripada negara pengeluar, acap kali sekutu-sekutu Amerika juga, lalu mengirimnya ke negara-negara maju, termasuklah Amerika, bagi menjalani proses pengayaan. Setelah itu, barulah rod-rod uranium dipulangkan kepada negara-negara Arab berkenaan. Ia langsung dimasukkan ke dalam reaktor untuk menjana tenaga. Fikirkan, bahkan istilah pemindahan teknologi juga kurang tepat untuk menggambarkan situasi ini. Nah, lihatlah apa sahaja yang dimiliki oleh negara-negara Islam, melainkan barang pasang-siap dan pergantungan mutlak kepada negara-negara atas angin semata-mata? Aneh, Ryu-chan. Sebagai rakyat sebuah negara yang pernah ditundukkan keserakahan kuasa Barat, dan bergelar cucu bekas tentera yang dimalukan oleh taktik kotor Amerika, engkau seakan merestui keangkuhan mereka.”

Senyap luar biasa. Angin semilir bersuhu kurang sepuluh darjah mengitari suasana, lembut tetapi dinginnya menusuk ke dasar tulang hitam. Momiji ikut beralun, bayang-bayang warna gemilang bertindan, bersatu berpusar membentuk citra bermusim yang mengamamkan. Ryutaro memejam mata. Pandangan kelam beberapa bentar. Justifikasi Hanim bergema, berat logik dan tepu praktikaliti; tajam menyanggah prinsip peribadi. Tampang Ojiisan mampir tiba-tiba, tuntas berganti paras seorang perempuan Melayu. Dia membuka mata.

“Menjawab tuduhanmu, ya, aku sememangnya berdendam. Tetapi bukan semua pelunasan dendam itu membinasakan.” Hanim membubar sepi.

“Dendammu, er, dendammu bukan terhadap Ojiisan,” Ryutaro teragak-agak menutur, namun disambut Hanim dengan unggisan senyuman paling manis. Muncung mencuka yang menemani sedari pagi hilang entah ke mana. Dia menaikkan tangan sebelah, menggetis sehelai daun gingko merah terang. Daun tipis bergerigis itu dilurut bersih sebelum disisip ke dalam saku baju panas. Ryutaro menyorot setiap perlakuan, dia maklum Hanim gemar menyimpan momiji kering sebagai koleksi.

“Kau tahu, sebilangan penganalisis menganggap senjata nuklear sekadar aksesori perang saraf politik?”

Argh, provokasi lagi! Ryutaro menggerutu bisu. Ketenangan sejenak bercempera.
Momiji musim rontok indah nian.

Glosari
Deciduous – daun luruh
Nihon Sankei – panorama paling indah di Jepun
Hiroshima Daigaku – Universiti Hiroshima.

INFO Penulis
REBBECCA Ilham, nama pena bagi Hazwani Rameli yang dilahirkan pada 17 Februari 1985. Penulis muda yang kini berkhidmat sebagai Jurutera Petroleum adalah Penasihat II Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) dan Moderator GKLN Cawangan Amerika Syarikat. Pernah memenangi tempat kedua Pertandingan Menulis Esei Berunsur Sejarah Peringkat Negeri Pulau Pinang 2000. Cerpennya mendapat tempat Berita Harian, Mingguan Malaysia, Dewan Sastera, Dewan Siswa, Dewan Kosmik, Sastera.net dan antologi cerpen terbitan GKLN: Jalan Jauh ke Ramallah serta Mengemis di Kota Larangan. Beliau boleh dihubungi di http://www.karyawanluarnegara.com.

SERTAI KAMI DI FACEBOOK
iklan iklan
iklan

Peta Laman

Hak Cipta Terpelihara 2012 - Berita Harian - The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Emel kami sebarang maklumbalas.
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024 x 768 tracker