Chong Wei lengkap hatrik Tewaskan Boonsak di final Terbuka Jepun
Tokyo: Lee Chong Wei melengkapkan hatrik memenangi Terbuka Jepun selepas menang di final menentang jaguh Thailand, Boonsak Ponsana, 21-18 21-18 di Stadium Nasional Yoyogi, semalam.

Chong Wei, juara 2007 dan 2010 memerlukan 42 minit untuk menewaskan Boonsak sekali gus menebus kekecewaan kalah di final tahun lalu apabila tunduk kepada jagoan China, Chen Long - kali ini semua pemain negara tembok besar menarik diri.
Lebih manis, kejayaan pemain nombor dua dunia itu diiringi langkah gemilang beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying yang menewaskan beregu Indonesia, Muhammad Rijal dan Liliyana Natsir, 21-12 21-19.


Kejayaan beregu pilihan pertama kejohanan itu bagaimanapun gagal diteruskan beregu emas negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong yang tunduk kepada pasangan baru Korea, Kim Ki Jung dan Kim Sa Rang.

Hampakan harapan peminat

Koo - Tan, pilihan kedua kejohanan tewas straight set, 21-16 21-19 kepada pilihan ketujuh kejohanan itu dalam masa 32 minit sekali gus menghampakan harapan peminat yang mengidamkan skuad negara merangkul tiga gelaran serentak.

Chong Wei yang baru pertama kali menyertai kejohanan selepas Olimpik London, mempunyai laluan mudah ke final dan merangkul kejuaraan selepas semua pemain China memboikot kejohanan berikutan hubungan diplomatik tegang antara kedua negara.
“Ia perlawanan yang bagus, tetapi mencabar, “ kata Chong Wei yang melebarkan rekod kemenangan 14-2 ke atas Boonsak.

“Ini kejohanan pertama selepas Olimpik London. Saya gembira kerana memulakan langkah dengan kejayaan ini - meletakkan kekecewaan di belakang,” katanya yang tewas kepada Lin Dan dalam perebutan pingat emas di Olimpik London dan Beijing 2008. - Agensi