gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Foto

Cipta nama dalam dunia muzik dengan cara sendiri

DIA mungkin mewarisi bakat bapanya. Tetapi bukan bakat sebagai seorang hartawan terkemuka, sebaliknya mewarisi bakat sebagai anak seni. Bapanya bukan calang-calang orang dalam dunia korporat.
Namun, dia tidak menggunakan nama besar bapanya untuk berjaya dalam dunia nyanyian. Itulah sikap yang dimiliki oleh Mizz Nina atau nama sebenarnya Sharzina Azman yang bakal berusia genap 30 tahun pada 1 Julai nanti.

Bapanya ialah Pengerusi Kumpulan AmBank Berhad, Tan Sri Azman Hashim yang suatu ketika pernah menghasilkan dua album sehingga mendapat gelaran The Singing Banker. Mizz Nina bagaikan meneruskan apa yang sudah dirintis oleh bapanya iaitu menjadi penyanyi secara serius dan profesional. Malah dia pernah jolokan The Rapping Daughter.


Tidak kekok nyanyi lagu Melayu

Mizz Nina pernah menjadi anggota kumpulan Teh Tarik Crew. Selepas beberapa ketika, dia memberanikan diri untuk muncul secara solo.
Dan kini dia sedang membawa misi besar untuk mempromosikan album solo pertamanya yang bakal dilancar pada 17 Julai depan. Album itu memuatkan 14 lagu dengan lima daripadanya adalah dinyanyikan dalam bahasa Melayu. Ketika ini single pertamanya iaitu What You Waiting For berada dalam senarai carta radio. Lagu itu juga dimainkan oleh beberapa stesen radio antarabangsa.

“Ketika ini, lagu What You Waiting For selalu juga disiarkan oleh radio Hitz FM, Fly FM, Era FM dan XFM. Malah, ia turut menjadi pilihan di beberapa stesen di luar negara seperti di Los Angeles, Oklahama City dan Paso. Saya bersyukur kerana mendapat pengurusan yang baik hingga berjaya meraih peluang di peringkat antarabangsa.

“Menerusi lagu What You Waiting For juga, saya berpeluang untuk bekerjsama dengan Colby O’Donis seorang penyanyi, penulis dan penerbit lagu dari Amerika Syarikat. Colby sebelum ini pernah menjadi protege kepada rapper Akon. Memang misi saya untuk pergi ke peringkat antarabangsa.

“Tapi pada masa sama, saya mahu juga melakar nama di negara kelahiran sendiri.
Insya-Allah, single kedua yang akan dipilih tak lama lagi dalam bahasa Melayu.
Menerusi album ini, saya mahu apa saja muzik yang saya hasilkan dapat dikongsi dengan peminat,” katanya sambil menyifatkan lagu-lagu yang dimuatkan dalam album agak pelbagai kerana berkonsepkan Pop, R&B dan Hip Hop.

Tambah Mizz Nina lagi, album sulung itu dihasilkan dengan titik peluhnya sendiri menerusi syarikat Mizz Nina Production yang ditubuhkan awal tahun ini. Album ini juga dilihat sebagai usahanya untuk lari daripada pasaran urban kepada arus perdana.

“Konsep album ini juga berteraskan cinta dan kasih sayang dan pengalaman cinta lalu. Lagu Srikandi yang menampilkan Mawar Berduri sebagai contohnya, mengenai kuasa wanita. Saya turut bekerjasama dengan Noh Hujan untuk lagu Kurnia.

“Album ini juga jelas menampakkan perubahan imej saya daripada yang agak tomboi (sewaktu bersama Teh Tarik Crew) kepada imej yang lebih feminin. Jika dulu, saya hanya pandai melakukan bahagian rap saja tetapi kini saya mahu membuktikan boleh menyanyi dan menari,” katanya yang pernah berduet dengan bapanya ketika berusia lapan tahun menyanyikan lagu saduran daripada sebuah filem terbitan Disney.

Sudah lama kenal Noh

KEINGINAN untuk mempopularkan lagu bahasa Melayu sedikit kontras dengan personaliti Mizz Nina sendiri. Dalam setiap perbualan, dia lebih senang dan selesa bertutur dalam bahasa Inggeris.

Anak bongsu daripada lima beradik ini mengaku dia dibesarkan dengan sedikit pengaruh kebaratan. Dia menerima pendidikan awal di sebuah sekolah antarabangsa. Selepas itu melanjutkan pelajarannya dalam bidang Pengajian Media dan Perhubungan Awam di Australia.

Bagaimanapun itu semua tidaklah sampai mengubah jati dirinya sebagai anak Melayu. Sebaliknya, Mizz Nina masih tebal dengan jiwa Melayu. Dia sebenarnya seorang yang gila-gila, ramah dan bersedia melakukan apa saja pose menarik biarpun remeh untuk dilakukan.

“Kalau yang tak kenal saya, memang ada menyangka saya sombong. Apatah lagi, saya lebih suka berbahasa Inggeris. Tapi itu tak bererti saya melupakan Bahasa Melayu.

“Saya bangga jadi anak Malaysia. Cuma persekitaran menyebabkan saya tidak terbiasa dengan penggunaan bahasa Melayu. Sekarang, saya sedang membiasakan diri bercakap bahasa Melayu,” katanya.

Kebelakangan ini nama Mizz Nina turut terpalit kononnya dikatakan bercinta dengan vokalis Hujan, Noh. Pantas memintas, Mizz Nina memberitahu ketika ini, dia tidak mempunyai cinta di hati. Bagaimanapun, Mizz Nina tidak berselindung bahawa dia dan Noh sebenarnya sudah lama kenal. Sambil berseloroh, Mizz Nina berkata, dia pernah mendengar bukan hanya namanya dikaitkan dengan Noh, malah beberapa nama artis wanita lain.

“Saya tidak terlalu memikirkan gosip itu. Kerjaya seni saya ibaratnya seperti baru bermula dan banyak lagi perkara yang perlu diberi perhatian berbanding mengambil tahu kisah gosip macam itu,” katanya sambil tersenyum.

Info
Mizz Nina


  • Sebelum bekerjasama dengan Colby O’Donis, pengurusannya hampir mendapatkan khidmat penyanyi Jay Sean tetapi kerana perlu menunggu lama, akhirnya Colby menjadi pilihan.

  • Berbakat sebagai pengacara TV, pengacara majlis, deejay radio dan model.

  • Selain berganding bahu dengan Colby O’Donis, Noh dan Mawar Berduri, dia juga bekerjasama dengan MC Dandee (dari Thaitanium Entertainment Bangkok), Teeflii, Planet Asia, DJ Fuzz, Uno dan AJ dari Pop Shuvit, D’Navigator, Koko, Syaheed, Sakke dan Koolade.

  • Akan membuat persembahan pembukaan untuk konsert Usher pada 7 Julai depan di Stadium Nasional Bukit Jalil.