Manchester: Roberto Mancini gembira melihat sifat kepercayaan pada diri di kalangan pemain tetapi tetap beranggapan Manchester City ada banyak aspek untuk menapak maju mempertahankan mahkota kejuaraan Liga Perdana Inggeris sekali lagi.

Juara bertahan itu bangkit pada lewat permainan untuk membuka saingan liga dengan kemenangan tipis 3-2 ke atas pendatang baru, Southampton di laman sendiri, malam kelmarin.
Apabila memulakan musim ini. Perlawanan pertama sentiasa sukar. Adalah penting untuk memiliki karakter seperti ini tetapi untuk masa akan datang, kami perlu beraksi lebih baik.


Saya rasa kerana ia perlawanan pertama dan kami baru saja kembali dalam tempoh dua minggu, jadi inilah yang berlaku, kata Mancini.

Carlos Tevez meletakkan City di hadapan pada minit ke-40, namun pelawat berjaya membalas dua gol menerusi Rickie Lambert (59) dan Steven Davis (68). City bagaimanapun bangkit dengan tambahan dua gol daripada Edin Dzeko (72) dan Samir Nasri (80).

Dalam pada itu, penyerang City, Sergio Aguero mengalami kecederaan lutut dan terpaksa diusung keluar seawal minit ke-14.

Saya bimbang kerana apa juga yang berlaku membabitkan lutut cukup berbahaya dan kecederaan ini agak pelik. Kami perlu menanti apakah kecederaan sebenarnya selepas ujian imbasan dibuat, jelas Mancini. AP