Laman Utama » Rencana

Corak kempen etnik tak sesuai di Sarawak



2011/04/17
Share |
Rekod pembangunan dibawa BN utama rakyat, manifesto pembangkang sekadar janji bermusim

SEMALAM, selesai sudah Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 dan kerajaan negeri yang baru juga sudah tertubuh. Apa penilaian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari segi perjalanan proses kali ini, apa pula pandangan anak Sarawak? Wartawan Berita Minggu, HASPAIZI MOHD ZAIN dan ZANARIAH ABD MUTALIB, mendapatkan rumusan anak jati Sarawak yang juga Timbalan Dekan (Pasca Siswazah) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Jayum Anak Jawan dan Pengarah SPR Sarawak, Datuk Takun Sunggah. DR JAYUM ANAK JAWAN Bagaimana Prof melihat corak kempen pilihan raya Sarawak kali ini, adakah berbeza dengan pilihan raya negeri sebelum ini?

Kempen adalah nadi dalam demokrasi. Rakyat berhak mendapat sebanyak mungkin maklumat mengenai politik dan latar belakang calon yang bertanding. Dalam kempen kali ini, maklumat cukup banyak, sama ada dalam ceramah atau dalam pelbagai media yang disajikan melalui pelbagai saluran. Ini satu-satunya perkara yang menyuburkan demokrasi. Rakyat Sarawak sudah matang, mereka sudah biasa dengan proses politik ini sejak Pilihan Raya Umum 1964 dan 1969. Saya tidak risau apa sekali pun corak dan taktik yang dipakai parti politik yang bertanding. Pada akhirnya nanti, kuasa penentu itu adalah rakyat. Mereka bijak menapis apa yang benar dan apa yang tidak benar.

Corak kempen kali ini bertambah kompetitif kerana barisan pembangkang sudah mula fokus dalam kempen mereka. Kali ini pembangkang menentukan agenda yang mereka mahu bawa berbanding pada masa lampau yang menyaksikan mereka sekadar memberi maklum balas kepada sajian parti pemerintah. Di pihak parti pemerintah, corak dan taktik kempen sama saja, iaitu mereka fokus kepada pembangunan material, kemampuan mereka menyalurkan pembangunan fizikal seperti membuat jalan raya, memberi peruntukan kepada badan tertentu dan seumpamanya.

Kesimpulannya, kempen parti pemerintah dapat dijangkakan dan sebab itu di kebanyakan ceramah mereka, kehadiran khalayak tidak begitu ramai berbanding ceramah pembangkang. Parti pemerintah menarik perhatian pengundi kepada pertama, rekod pembangunan di bawah pemerintahan mereka dan kedua, kepada usaha pembangunan yang dijalankan serta-merta sempena pilihan raya berkenaan. Oleh itu kebanyakan aktiviti calon parti pemerintah adalah melancarkan itu dan ini di sana sini, melulus atau memberi peruntukan kepada pelbagai kegiatan dan pertubuhan.
Parti pembangkang pula menjanjikan pelbagai pakej program yang akan mereka laksanakan sekiranya berjaya mendapat sokongan dan menubuhkan kerajaan. Berbanding dulu, kali ini pembangkang menawarkan pakej yang lebih bersepadu dan menjurus kepada menyelesaikan masalah yang mereka rasakan sudah membangkitkan kemarahan rakyat tempatan. Semua ini disenaraikan dalam manifesto mereka pada Buku Jingga yang merangkumi, antara lain menawarkan kerajaan negeri yang mereka terajui untuk menuntut 20 peratus royalti minyak daripada Kerajaan Pusat dan kedua, menubuhkan suruhanjaya tanah untuk mengkaji persoalan berkaitan tanah adat.

Berbanding sebelum ini, manifesto pembangkang adalah spesifik dan fokus kepada pelbagai masalah bercorak tempatan, bukan abstrak dan umum seperti urus tadbir, rasuah dan krisis mata wang yang sukar mendapat tumpuan pengundi luar bandar khasnya.

Boleh Prof bandingkan kenyataan tadi dengan kempen pilihan raya di negeri ini sebelum ini?

Isu dan pendekatan yang dibawa oleh parti pemerintah tidak berubah, lebih fokus kepada pembawa pembangunan. Mereka cuba membuktikannya dengan melaksanakan pelbagai projek kilat bagi mengotakan mesej ini. Bagi pengundi di bandar, pendekatan ini mungkin sudah tidak begitu berkesan. Di kalangan pengundi luar bandar, ia juga perkara rutin, maksudnya pengundi pernah dengar berulang kali dalam kempen pilihan raya. Selama ini, pembangkang terikat atas permainan parti pemerintah, tetapi kali ini parti pembangkang menentukan sendiri hala tuju kempen mereka dengan memberi harapan baru melalui janji yang terkandung dalam Buku Jingga.

Corak ini berjaya menarik minat dan perhatian pengundi dan sebab itu, ceramah dan kempen pembangkang sesak, khasnya di bandar utama seperti Kuching, Sibu dan Miri. Pengundi mahu tahu apa pembangkang janjikan sekiranya memerintah berbanding ceramah parti pemerintah yang mungkin membawa mesej yang sama, keperluan pembangunan dan kalau tidak mengundi BN Sarawak tidak maju.

Bagaimana Prof menilai kempen pembangkang yang dikatakan agresif kerana pengaruh dibawa dari Semenanjung dan adakah rakyat Sarawak bersedia menerima corak kempen sedemikian?

Suasana panas dan ada kala tegang sudah diduga kerana persaingan politik yang kuat antara dua kumpulan iaitu ahli parti pemerintah dan pembangkang. Taktik kurang menyenangkan dan membawa kepada suasana tegang ini hanya membuktikan pandangan rakyat Sarawak bahawa orang Semenanjung terdesak dalam politik mereka dan sanggup lakukan apa saja demi kepentingan survival politik masing-masing di Semenanjung, sama ada UMNO, MCA, PAS, PKR dan DAP. Semua ini bukan dilakukan untuk orang Sarawak! Ini pandangan yang saya dapat rumuskan selepas berbincang dengan beberapa pengundi dan tokoh politik Sarawak dari kedua-dua pihak, iaitu calon dan pemimpin dari parti dalam BN dan pakatan pembangkang.

Bagaimanapun, mereka tetap menaruh kepercayaan bahawa selepas semua ini berakhir, Sarawak tetap Sarawak dan orang Sarawak tetap kena berjiran, berbaik dan bergaul seperti sedia kala. Mereka juga yang perlu meneruskan kehidupan, bukan orang Semenanjung yang akan bergegas pulang selepas pilihan raya tamat.

Jika merujuk corak kempen bersifat etnik di Semenanjung yang cuba diperkenalkan di Sarawak, ini sesuatu yang amat tidak wajar dan patut dikutuk sekeras-kerasnya. Sarawak negeri majmuk di mana rakyat pelbagai etnik hidup mengamalkan persefahaman dan sikap kerjasama amat tinggi. Sifat ini yang membolehkan semua tanpa mengira agama dan latar belakang etnik hidup harmoni, aman dan damai selama ini. Di Sarawak saja, banyak keluarga merangkumi pelbagai etnik menganut agama Islam, Kristian, cara hidup tradisional, Buddha dan lain-lain. Mereka tetap mampu duduk dan makan bersama meraikan semua perayaan. Ini perlu dikekalkan dan mengatasi politik serta kempen sempit yang cuba dibawa dari Semenanjung, tidak kira dari parti mana mereka datang atau wakili.

Ada juga menyifatkan budaya politik samseng turut dibawa ke Sarawak dan bagaimana Prof melihat kempen di sebelah BN?

Sekiranya ada politik samseng, ia bukan berpunca dari dalam negeri. Ia masuk atau timbul kerana dua sebab utama iaitu pertama, dibawa masuk dari luar dan cuba digunakan untuk mengelirukan pengundi di negeri berkenaan dan kedua, kerana kegagalan sistem pilihan raya yang memberi dan menyediakan peluang supaya pengundi mendapat semua maklumat daripada pihak yang bertanding bagi membantu mereka membuat keputusan berhubung siapa yang mereka akan pilih.

Dalam hal ini, saya berasakan pihak berwajib, khasnya Suruhanjaya Pilihan Raya perlu dikaji peranannya dan sistem itu perlu dirombak semula supaya ia memainkan peranan yang lebih berkesan dalam menegakkan sistem demokrasi. Fokus kempen BN Sarawak masih berkisar mengenai perkara kecil seperti pembangunan fizikal, membina jalan raya, membaiki rumah panjang dan sebagainya.

Perkara seperti ini penting tetapi apabila rakyat sudah dapat makan dan minum serta tempat tinggal, mereka mahukan harapan masa depan. Apakah harapan masa depan yang disajikan? Pengundi luar bandar tidak boleh dianggap masih bersikap dan bersifat seperti mereka pada 1960-an dan 1970-an. Apabila barisan pembangkang memaparkan harapan, pengundi melihat di situ ada harapan. Persoalan sama ada janji itu boleh ditunaikan atau tidak, tidak penting pada masa itu (masa kempen). Setidak-tidaknya ada pihak menjanjikan sesuatu yang baru dan dalam bahasa semasa, ia adalah anjakan paradigma atau pemikiran di luar kotak. Rakyat moden tidak mahu mendengar ‘tidak boleh'.

Dalam ceramah pembangkang, serangan dilancarkan terhadap pemimpin BN, terutama Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isu pembangunan di luar bandar yang didakwa masih ketinggalan?

Setiap pemimpin mesti bersedia peribadinya dibincangkan secara terbuka. Rakyat berhak tahu siapa pemimpin itu dan siapa ahli keluarga mereka.

Sebagai pemimpin, mereka termasuk ahli keluarga terdekat adalah contoh kepada orang ramai. Justeru, pemimpin dan ahli keluarga seharusnya menjadi contoh yang baik, tinggi budi pekerti, tiada cacat cela dari segi moral, akhlak dan lain-lain sifat yang patut dicontohi awam.

Ketua Menteri Sarawak mempunyai tanggung jawab moral kepada rakyat Sarawak untuk menjawab setiap tuduhan yang dilemparkan kepada beliau dan keluarga. Sudah pasti beliau mahu membersihkan nama sendiri dan keluarga terhadap pelbagai tuduhan daripada pelbagai pihak supaya sejarah akan meletakkan beliau dalam perspektif yang sewajarnya sebagai pemimpin yang lama berkhidmat dan berjasa kepada negeri.

Rakyat Sarawak khasnya Bumiputera Dayak dan Melayu akan memilih untuk kesinambungan dan kestabilan politik. Mereka akan tetap memberi sokongan kepada BN demi mengiktiraf kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang banyak memberi suntikan semangat dan harapan baru dalam gagasan 1Malaysia. Isu pembangunan di luar bandar yang didakwa ketinggalan amat berkesan untuk menarik perhatian rakyat kawasan itu, khasnya pengundi Dayak. Ini bukan taktik baru kerana sudah lama digunakan dan tetap relevan pada masa sekarang. Sejauh mana ia dapat diterjemahkan kepada undi untuk pembangkang, ia persoalan yang tidak mudah difahami.

Jika mengikut sentimen bahawa Dayak marah kerana kehilangan tanah adat mereka, sudah lama BN Sarawak jatuh jika sentimen itu diterjemahkan kepada undi pada sesetengah masyarakat yang mengamalkan proses pengundi. Yang pasti Dayak selalu diingatkan supaya berunding dengan parti pemerintah untuk menyelesaikan masalah ini dan diminta jangan menggunakan undi dalam hal ini. Selama ini, mereka (Dayak) dengar rayuan pemerintah berkaitan kaedah untuk menyelesaikan masalah tanah adat.

Pilihan raya negeri jadi contoh amalan demokrasi

TAKUN SUNGGAH

Apa rumusan Datuk terhadap perjalanan kempen bagi pilihan raya negeri kali ini dan sama ada kehadiran ramai calon menggugat keharmonian kaum di Sarawak?

Memang pilihan raya kali ini mencatat sejarah tersendiri, semua calon bertanding tiada yang menarik diri. Dari segi perjalanan kempen, saya berpuas hati, polis juga tidak menerima laporan. Dari segi kempen, saya puas hati. Saya juga amat yakin dan percaya ramai calon dan parti yang bertanding tidak menggugat keharmonian kaum di Sarawak. Sebab parti yang bertanding misalnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan komponen Barisan Nasional (BN) terdiri daripada berbilang kaum, macam PKR ada Iban, Bidayuh serta Melanau. Saya yakin serta percaya tidak akan ada kekecohan kaum dan keharmonian tidak akan tergugat sebab mereka menghormati kaum masing-masing yang ada dalam parti.

Sepanjang proses kempen, adakah SPR mengesan pihak atau parti yang menggunakan isu perkauman atau agama ketika berkempen. Sejauh mana pula perjalanan kempen di sembilan kawasan panas yang dikenal pasti SPR sebelum ini?

Tidak ada yang menggunakan isu kaum atau agama, misalnya tidak ada parti berkempen menyatakan bahawa undi mereka masuk syurga atau undi parti ini masuk neraka. Mengenai kawasan panas pula, apa yang dimaksudkan oleh SPR bukan seperti istilah panas yang digunakan dalam politik, tetapi kita melihatnya dari segi tahap aktif kempen di kawasan berkenaan. Bagaimanapun sepanjang 10 hari sebelum pilihan raya negeri, kempen di kawasan itu lancar tanpa berlaku perkara yang boleh memanaskan keadaan. Hanya isu tempatan yang dibangkitkan seperti isu tanah dan sebagainya.

Bagaimana pula dengan kerjasama SPR dan polis dalam mengawal suasana kempen hingga Pengerusi SPR, Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof menganggap pilihan raya negeri kali ini disifatkan antara yang terbaik dalam sejarah?

Memang SPR mendapat kerjasama yang baik daripada pihak polis, kita bekerjasama rapat bagi memastikan pilihan raya kali ini berjalan lancar dan kempen berlangsung dalam suasana harmoni. Polis ada undang-undang yang patut dipatuhi semua pihak yang terbabit dalam pilihan raya, SPR juga ada undang-undang sendiri. Selain itu, ada juga undang-undang lain seperti Akta Mesin Cetak serta undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) yang perlu dipatuhi. Kalau semua pihak mematuhinya, maka pilihan raya kali ini menjadi pilihan raya yang aman.

Akhir sekali, apa pula rumusan peribadi Datuk terhadap pilihan raya negeri kali ini. Apakah ia yang terbaik dan boleh menjadi contoh untuk pilihan raya akan datang?

Saya sememangnya berharap pilihan raya Sarawak menjadi pilihan raya yang terbaik. Kalau kita lihat pilihan raya kecil sebelum ini di Sibu dan Semenanjung, kita dapat lihat suasana kempen yang agresif. Namun bagi pilihan raya negeri ini, saya lihat di Sarawak ini tidak ada kempen agresif yang boleh menyentuh perasaan orang dan sebagainya. Saya juga berharap pilihan raya Sarawak ini menjadi contoh untuk pilihan raya lain selepas ini.
Artikel Lain