JOHOR BAHRU: Dadah yang dipercayai syabu dan pil Eramin yang ditemui di sebuah makmal yang berselindung di sebalik kilang makanan sejuk beku yang terbakar di Kawasan Perindustrian Baru Pekan Nenas, dua hari lalu, dianggar bernilai RM18 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata nilai RM10 juta yang diumum pihaknya semalam berdasarkan siasatan awal.
"Polis dalam melakukan siasatan juga sudah mengenal pasti beberapa suspek yang terlibat termasuk rakyat asing.

"Kami sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai mereka dan percaya dapat memberkas semua mereka dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata, buat masa ini kerja pembersihan kilang terbabit sedang giat dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kimia dan Unit Forensik.

Operasi makmal dadah itu terbongkar apabila anggota Bomba dan Penyelamat Pekan Nenas dan Pontian yang memadam kebakaran di kilang terbabit pada 1.30 petang menemui dadah itu dan memaklumkannya kepada polis.

Semua dadah berkenaan ditemui di tingkat atas kilang dua tingkat itu selepas tingkat bawahnya yang dipercayai bahagian pengeluaran terbakar.
Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar berkata polis menemui beberapa petunjuk baru dalam usaha memberkas suspek kes menembak mati seorang warga emas di sebuah stesen minyak di Jalan Genuang, dekat Segamat, semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menyiasat latar belakang mangsa, Lim Ching Hoon, 63, dan motif pembunuhan.

Dalam kejadian 7.45 pagi semalam, Lim mati selepas terkena enam das tembakan dari jarak dekat ketika mengisi petrol kereta Mercedes Benz miliknya di sebuah stesen minyak berhampiran rumahnya.

Dipercayai dua suspek bertopi keledar penuh menutup muka yang menunggang motosikal berwarna gelap membuat pusingan U di lampu isyarat Jalan Genuang dan menghampiri Lim sebelum pemboncengnya melepaskan tembakan. - BERNAMA