Datuk K kemalangan Siti Nurhaliza dan suami, Khalid Mohd Jiwa.
Siti batal kemunculan di Banjarmasin untuk bersama suami di New Zealand

Sepatutnya semalam, penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza, menghiburkan peminatnya di Banjarmasin, Kalimantan, Indonesia. Namun manusia hanya merancang tetapi Tuhan yang menentukan.
Beberapa jam sebelum konsert berlangsung, Siti menerima berita buruk menerusi kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengatakan suami tercinta, Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa, terbabit dalam kemalangan sewaktu menunggang motosikal berkuasa tinggi di New Zealand.


Hati mana yang mampu tenang pada saat suami ditimpa musibah, sedangkan si isteri tidak berada di sisi untuk menemani? Lantas, keputusan nekad harus dibuat dan Siti akhirnya memilih untuk melupakan hasrat meneruskan siri akhir Konsert Ekspresi Karya Gemilang. Dia memutuskan untuk berpatah balik ke Kuala Lumpur.

Walaupun dihimpit perasaan gundah, namun Siti tetap tenang berdepan saat mencemaskan seperti itu, sambil mengharapkan semua pihak mendoakan yang baik-baik saja untuk suaminya.

“Keadaan suami Siti tidak begitu membimbangkan dan berada dalam keadaan stabil. Cuma, dia mengalami kecederaan akibat patah bahu, tangan dan kaki. Doakan semoga suami Siti cepat pulih,” katanya yang akan berlepas ke New Zealand hari ini untuk bersama-sama Khalid, dengan ditemani kakak iparnya, Datin Zaiton Mohammad Jiwa.