Dendam leteran isteri BH Online

Dendam leteran isteri

2011/04/24

Alasan perkahwinan 20 tahun tak bahagia modal suami hidup 'bujang' cari cinta baru

RINTIHAN hati seorang guru yang berdepan ujian rumah tangga selepas 20 tahun hidup bersama suami tersayang menyentuh perasaan Kak Ani. Sepanjang usia perkahwinan itu, mereka dianugerahkan lima cahaya mata berumur antara 19 tahun dan 10 tahun.

Guru yang Kak Ani perkenalkan sebagai Diya tidak sangka selepas melalui tempoh agak matang melayari bahtera rumah tangga, masih ada badai yang cuba memusnahkan kebahagiaan mereka.

Atas dasar kepercayaan, Diya dan suami pasrah apabila ter mengharungi liku-liku hidup berjauhan kerana komited dengan tugas masing-masing.

Perasaan rindu anak isteri terubat apabila suami pulang sekali sekala untuk bersama keluarga. Diya tidak pernah terfikir, dalam usia semakin senja, kasih suami akan beralih kepada wanita lain. Sungguh...itulah yang berlegar di mindanya apabila kepercayaan diberikan selama hidup berjauhan akhirnya dibalas dengan tuba.

Berikut catatan Diya dalam e-mel kepada Kongsi Rasa.

“Saya duduk berjauhan dengan suami hampir tiga tahun, dia di Kuala Lumpur dan saya di Kedah dengan anak-anak. Dari segi kewangan dan keperluan rumah tangga semua cukup, Alhamdulillah.

“Perselisihan dalam rumah tangga memang ada, tambahan lagi apabila tinggal berjauhan. Kadang-kadang dalam keletihan menjaga dan mengurus anak dan kerja, saya tidak dapat mengawal marah kepada suami yang balik bercuti tetapi tidak membantu urusan rumah tangga. Hal-hal macam ini selalu berlaku dan permasalahan dihadapi berlalu begitu saja tanpa jalan penyelesaian. Apabila tiba masa, suami akan pulang ke Kuala Lumpur tanpa memujuk saya atau menyatakan sesuatu mengenai perselisihan tadi.

“Sejak kebelakangan ini kekerapan suami balik ke Kedah makin jarang, bagaimanapun saya masih mempercayai kesetiaannya. Pernah dua bulan dia meninggalkan kami dan hanya pulang ke rumah selepas mengetahui anak demam.

“Rupa-rupanya, tanpa pengetahuan saya, dia berkawan dengan seorang gadis di Kuala Lumpur dan merancang untuk berkahwin tidak lama lagi. Saya mengetahuinya selepas dia memberitahu niatnya untuk berkahwin lagi. Yang menyebabkan hati saya hancur luluh dan berkecai, suami menipu saya selama lima tahun dia berkawan dan sering keluar berdua-duaan dengan gadis itu.

“Saya bertambah sedih kerana apabila berdepan masalah ini, suami menyalahkan saya seratus peratus. Suami mendakwa, sepanjang 20 tahun perkahwinan kami, dia tidak bahagia serta rasa tertekan kerana sikap saya kerap berleter.

“Kebaikan dan pengorbanan yang sudah saya berikan kepada suami dan anak-anak selama ini tidak sedikit berbekas di hatinya. Semuanya kerana suami mabuk bercinta sehinggakan kesilapan kecil saya pun dijadikan sebagai alasan. Saya kesal mengapa suami mengambil masa yang begitu lama untuk menyenaraikan segala kesalahan dan kesilapan saya?

“Sedikit pun dia tidak memberi peluang untuk saya membaiki diri. Dia terus menghukum saya dengan kejamnya.

“Walaupun suami meluahkan semua kemarahannya pada saya selama ini, saya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Layanan sebagai isteri tetap saya beri walaupun sikap suami sudah berubah, daripada seorang yang mengambil berat hal keluarga, kini menjadi suami pemarah.

“Sudah lama kami tak bergurau atau bergelak ketawa bersama. Perubahan dirinya memang sudah lama saya sedar, cuma saya tak ambil peduli sebab percayakannya sepenuh hati. Saya terlalu sayangkan suami dan tak mungkin berkongsi kasih dengan orang lain. Saya tak mampu lagi menanggung dugaan ini.

“Sekarang kesihatan saya cukup terganggu dan jika terlalu tertekan saya boleh pengsan, menangis dan hilang selera makan. Kini saya dalam proses memohon pertukaran untuk duduk dekat dengan suami atas saranan suami juga. Apabila saya merayu, menangis, meraung, suami saya akan memeluk saya sekuat-kuat hati. Apabila berjalan bersamanya, suami akan pegang tangan saya dengan erat. Saya tak tahu maksud dia berbuat begitu....mungkinkah dia kesian?”

Melihatkan perlakuan mesra suami terhadap Diya, Kak Ani percaya masih ada ruang membaiki perhubungan ini. Diya pada pandangan Kak Ani sebenarnya bijak menangani masalah jika tidak terlalu mengikut emosi.

Diya masih sedar tanggungjawabnya sebagai isteri yang dituntut agama iaitu taatkan kehendak suami walaupun berdepan konflik rumah tangga. Sikap inilah yang membuat suami masih menghormatinya dan menjadi pengikat kasih yang membuatkan suami rasa bersalah. Cara dia memeluk dan memegang erat tangan Diya juga menunjukkan dia tidak akan mengabaikan hidup isteri dan anak-anak, jika masih meneruskan niat untuk berkahwin dengan wanita lain.

Memang susah menerima kenyataan kehadiran orang ketiga. Usahkan pahit ditelan, meluahkannya juga ibarat tertusuk duri sembilu. Namun Diya, jika perhubungan suami belum sampai ke tahap serius, Diya masih boleh ajak suami berbincang. Luahkan apa yang terbuku di hati. Anak-anak Diya yang sudah dewasa juga boleh memainkan peranan memujuk ayah mereka.

Kepada suami Diya pula, Kak Ani ingin sampaikan pesanan, perkahwinan kedua bukan jalan keluar untuk membalas dendam terhadap sikap isteri selama ini.
Seseorang suami patut memasukkan diri mereka di tempat isteri yang memikul beban tugas mengurus rumah tangga, anak dan pada masa sama bekerja.

Walaupun lelaki mempunyai tenaga yang kuat tetapi tak mungkin boleh memiliki kesabaran yang tinggi seperti wanita. Memang ada lelaki yang mahu berkahwin tetapi tidak bersedia menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin rumah tangga.

Bagi golongan ini, mereka anggap menyediakan keperluan rumah tangga dari aspek fizikal lebih penting tanpa mereka sedar isteri dan anak kehausan kasih sayang. Golongan ini juga tidak mahu isteri dan anak mengongkong pergerakan dan menganggap hidup membujang di tempat berasingan lebih baik daripada berada di sisi keluarga.

Mereka abai tanggungjawab terutama apabila melihat si isteri boleh berdikari dan tidak berkira membelanjakan pendapatan urusan rumah tangga. Suami begini sepatutnya menghargai pengorbanan isteri bukan mengambil kesempatan dengan berkahwin lain yang hanya menguntungkan diri sendiri.

Ingatlah wahai lelaki, berkahwin memang seronok tetapi untuk membesar anak terutama pada usia sudah lanjut memang perit. Dalam usia senja sekarang Diya dan suami sepatutnya bersedia untuk menerima menantu dan cucu yang akan mewarnai sebuah keluarga besar yang bahagia, bukannya bercakaran demi kepentingan diri.

- Kak Ani