Nasional

Derita keluarga Ibrahim Pendek dapat perhatian



Datuk Bandar Melaka Bersejarah, Zainal Abu (tengah) bersama keluarga Allahyarham Ibrahim Pendek di rumah usang mereka di Tanjung Bruas, Tanjung Kling, Melaka.- Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Melaka Tengah: Penderitaan hidup keluarga Allahyarham Ibrahim Pendek selepas kematian pelakon veteran itu pada 2003, mendapat perhatian Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Pengerusinya, Datuk Wira Idris Haron memaklumkan agensi berkenaan bersetuju membina rumah untuk keluarga Allahyarham menerusi Skim Rumah Amal Jariah dengan tapak sesuai akan dikenalpasti bagi membolehkan kediaman baru bernilai RM42,000 dibina menggantikan rumah usang ketika ini.

"Saya akan bincang dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam bagi mengenalpasti tapak rumah baru bagi keluarga Allahyarham, yang akan berkeluasan 750 kaki persegi dan mempunyai tiga bilik tidur," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih Ramadan dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat daerah Melaka Tengah di Penjara Sungai Udang, Bandar Baru Sungai Udang, di sini semalam.

Akhbar baru-baru ini menyiarkan kesengsaraan hidup keluarga Ibrahim yang mendiami rumah usang di tanah rizab berhampiran pencawang elektrik voltan tinggi di Tanjung Bruas, Tanjung Kling, dekat sini.

Isterinya, Asiah Othman, 57, tinggal bersama enam anak, Ismi, 40; Ani, 38; Munir, 36; Haslina, 35; Aidid, 33, dan Sahrin, 29, di rumah sempit itu selepas seniman itu meninggal dunia November 2003 akibat asma. Rumah dibina di atas tanah orang lain itu turut didiami 10 cucu pelakon berkenaan berusia dua hingga 16 tahun.