Kuala Lumpur: Menteri Besar Selangor didesak mengambil tindakan tegas terhadap Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dr Anuar Ahmad kerana gagal melaksanakan tanggungjawabnya.

Pecat Lembaga Pengarah
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga digesa memecat Ahli Lembaga Pengarah UNISEL yang didakwa tidak peka dengan kedudukan kewangan dan gagal menguruskan universiti itu dengan baik.

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan turut mencabar Menteri Besar mendedahkan kedudukan kewangan UNISEL yang gagal dibentang sebelum ini.

Inilah yang berlaku jika pengurusan universiti lebih cenderung berpolitik sehingga mengabaikan aspek pentadbiran dan menyebabkan prestasi akademik semakin merudum manakala kebajikan pelajar tidak terbela.

UNISEL jadi gajah putih

Selama ini, Menteri Besar mendabik dada mencanang kehebatan mengurus kewangan negeri dan UNISEL, tetapi jika inilah cara mereka, tidak mustahil universiti itu akan menjadi gajah putih dan matlamat melahirkan modal insan cemerlang tidak kesampaian, katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Minggu lalu, beberapa ratus pelajar UNISEL dihalang memasuki asrama dikendalikan Jana Niaga menyebabkan ada di antara mereka terpaksa tidur di surau atau menumpang bilik rakan.

Ia berikutan UNISEL tidak melunaskan kos pengurusan kolej kediaman kepada pihak syarikat pengendali asrama yang difahamkan meningkat sehingga RM15 juta.
Katanya, jika UNISEL mempunyai masalah kewangan serius, kerajaan negeri perlu mencari jalan membantu menyelamatkannya, selain menyarankan memberi subsidi yuran asrama kepada pelajar.

Daripada menggunakan wang rakyat di bawah Geran Selangorku berjumlah RM5 juta membiayai kos guaman Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli, lebih baik digunakan menyelesaikan masalah asrama pelajar. Itu menunjukkan Menteri Besar mengutamakan kepentingan politik dan mengabaikan pelajar, katanya.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor baru-baru ini, UNISEL didakwa mengalami kerugian dan bakal menjadi projek gajah putih berikutan terlalu banyak campur tangan politik selepas kerajaan PKR mengambil alih pentadbiran universiti itu.