Detik getir 8 pasukan bola sepak2012/07/10Debaran bermula, hari ini untuk lapan pasukan ketika digamit tiket mahu layak ke separuh akhir acara bola sepak Sukan Malaysia XV Pahang 2012.
Pahang, Terengganu, Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Perlis akan memperagakan kelibat masing-masing dalam suku akhir dan daripada senarai ini hanya Selangor dan Terengganu pernah mengecapi status sebagai pemenang pingat emas. Namun, bagi tuan rumah, kejayaan layak ke kelompok lapan terakhir pada edisi kali ini sekadar menambah motivasi mereka untuk dinobatkan selaku juara baru. Malah, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu anak didik Bahazenan Osman melangkah jauh sekurang-kurangnya mencapai sasaran layak ke separuh akhir. “Pahang memiliki pemain cukup berbakat tetapi mereka perlu lebih tenang ketika beraksi. Rasa ghairah juga kena ada. Jangan gugup beraksi di hadapan penyokong sendiri,” kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu, semalam. Laluan Terengganu ke separuh akhir pasti lebih berliku ketika lawan mereka, Wilayah Persekutuan bersemangat untuk cuba membalas dendam selepas tewas kepada skuad Penyu di separuh akhir kejohanan sama di Melaka, dua tahun lalu. Jurulatih Wilayah Persekutuan, Razip Ismail terlebih dulu melancarkan perang psikologi dan menganggap peluang kedua-dua pasukan masih seimbang. “Saya hormat Terengganu. Kami bertemu lebih awal dan saya rasa siapa yang beraksi baik, pasukan itulah yang akan menang. Cuma kami perlu lebih waspada dengan kapten dan penyerang mereka (Muhammad Fakhrurazi Musa dan Fahmi Izzudin Mohd Zaki),” kata Razip yang juga jurulatih skuad Liga Super Kuala Lumpur. |