Kuala Lumpur: Kerajaan sedia mengkaji menawarkan diskaun kepada pesalah lalu lintas yang dirakam Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), bagaimanapun tidak berhasrat memansuhkannya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata ketika ini semua pesalah AES dikenakan kadar kompaun sama, tanpa membezakan sama ada jumlah had laju dilanggar besar atau kecil.
Katanya, ketika ini belum ada keputusan untuk memberi diskaun.

Namun, selepas diasak Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang berpendapat wajar diberi diskaun bagi pesalah yang membayar dalam tempoh cepat, Cho Ha berkata: “Cadangan itu (diskaun) akan diambil kira,” katanya menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, semalam.

Cho Ha bagaimanapun bersetuju dengan Bung Moktar supaya kaedah pembayaran saman itu dipermudahkan berbanding di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika ini.

Selain itu, katanya, usaha juga dibuat untuk membangunkan sistem mengesan kenderaan luar negara bagi memastikan mereka membayar saman di Malaysia.
Beliau berkata, AES dilaksanakan untuk menyelamatkan nyawa pengguna di jalan raya.
Katanya, purata 19 kematian dicatat setiap hari di jalan raya dan di antara 2002 hingga tahun lalu, 64,195 kematian direkodkan.

“Analisa MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia) mendapati menjelang 2020 jumlah kematian di jalan raya boleh mencecah 10,000 orang setahun.

“Negara mengalami kerugian RM8.3 bilion tahun lalu dan RM6.2 bilion sehingga September lalu, akibat kematian serta kecederaan di jalan raya,” katanya.

Cho Ha juga menegaskan penguatkuasaan dan saman AES dibuat pegawai JPJ serta menafikan dakwaan ia turut dilakukan petugas dua syarikat penyedia perkhidmatan sistem itu.

Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang itu selepas dua kali undi belah bahagian.

Bercakap pada sidang media kemudian, Cho Ha berkata, sejak AES dikuatkuasakan September lalu, kesalahan had laju dan langgar lampu isyarat menurun hingga 70 peratus.

Beliau bagaimanapun mengaku kecewa dengan tindakan segelintir Ahli Parlimen pembangkang yang didakwa memutarbelitkan fakta mengenai AES dengan mendakwa dua syarikat yang terbabit mengaut keuntungan berlebihan.