Dua buah filem Indonesia membuat saya berfikir tentang filem tempatan. Di Bawah Lindungan Kaba arahan Hanny R Saputra dan Soegija (Garin Nugroho) bercerita tentang manusia daripada dua agama yang berbeza. Filem pertama itu disesuaikan daripada novel karya ilmuwan, ulama dan novelis tersohor Indonesia, Hamka sementara Soegija berdasarkan kisah seorang paderi Indonesia yang harus berdepan dengan isu kemanusiaan pada zaman pendudukan Jepun.

Kedua-dua buah filem ini mencerminkan Indonesia yang sebenar dengan nilai, budaya, minda, psyche, jiwa. Inilah filem Indonesia tanpa perlu diragukan. Garin yang terkenal kerana filem-filem artistik seperti Cinta Dalam Sepotong Roti, Surat Untuk Bidadari, Bulan Tertusuk Ilalang dan Opera Jawa mendekati subjeknya, Albertus Soegijipranata dari kaca mata seorang seniman tulen. Hanny pula yang mewakili generasi baru sutradara Indonesia mengarahkan filem yang tidak kurang kompleksnya. Jutaan pembaca di Indonesia dan Malaysia sudah mengenal buku itu dan mengharapkan sesuatu yang istimewa dari Hanny.
Saya menanyakan apakah filem-filem kita dapat menandingi kedua-dua karyawan tadi daripada segi mempamerkan imej ke-Melayuan atau ke-Malaysiaan yang sebenar? Apakah kita hanya memancarkan nilai-nilai baru yang sebenarnya bukan asli, tulen dan asal? Apakah kita hanya menciplak nilai-nilai universal yang paling rendah tahapnya lalu kita labelkan filem kita?.


Saya mempunyai alasan untuk mencemburui filem-filem Iran, Thailand dan Vietnam. Iran sejak sekian lama telah melahirkan filem-filem kecil dan murah tetapi menggegarkan sinema dunia. Mohsen Makhmalbaf (serta isteri, Mar-zieh dan anak beliau, Samira), Jaafar Panahi, Abbas Kiarostami dan Majid Majidi merupakan nama-nama yang terkenal. Dari Thailand, kita mengenal Nonzee Nimibutr, Pen-ek Ratanruang dan Wisit Sasanatieng yang memulakan gelombang baru sinema Thai.

Tertawan filem The Buffalo Boy

Pada tahun 2005 saya menjadi ketua juri Festival Filem Asia Pasifik. Kami tertawan oleh kekuatan filem The Buffalo Boy arahan Minh Nguyen-Vo. Beliau penyambung pada tradisi filem-filem bermutu dari negara itu yang digerakkan oleh Dang Nhat Minh, Than Van, Lu Throng Ninh dan Vu Xuan Hung.

Dalam sebuah forum di Sri Pentas dua bulan yang lalu, isu kualiti dan kuantiti filem tempatan telah dibangkitkan. Berdasarkan data Perbadanan Filem Nasional Malaysia (FINAS), pada tahun 2011 sebanyak 42 buah filem tempatan telah ditayangkan kepada umum. Sehingga 12 Julai 2012, sebanyak 37 buah filem telah dipertontonkan. Tahun ini nampaknya merupakan tahun sesak bagi filem Melayu. Besar kemungkinan sekurang-kurangnya 70 buah filem tempatan akan ditayangkan. Ini bermakna sebuah filem Melayu setiap lima hari.
Pada zaman gemilang filem Melayu pada tahun-tahun 50-an dan 60-an, baik MFP atau Cathay-Keris mengeluarkan paling banyak 10 buah filem setahun. Berdasarkan Katalog Filem Indonesia 1926-1995 susunan JB Kristanto, dalam masa 69 tahun telah terhasil 2,261 buah filem atau secara purata 33 buah filem setahun. Pada zaman kemuncak filem Indonesia pada 1976, 126 buah filem telah diterbitkan.

Soalnya, mampukah industri filem kita menampung 70 buah filem setahun? Tahun lalu, dari 42 buah filem hanya dua buah filem yang mencecah kutipan kasar melebihi RM10 juta yakni KL Gangster dan Ombak Rindu. Dua buah filem lain yang dianggap juara box-office ialah Hantu Bonceng dan Khurafat. Saya tidak mahu menghujahkan tentang kualiti dan rupa filem-filem ini. Saya hanya mengatakan bahawa keempat-empat buah filem itu mewakili genre aksi/jenayah, cinta dan hantu.

Tercari cerminan sebenar filem kita

Saya tidak melihat di dalam mana-mana 32 buah filem itu, cerminan sebenar filem kita seperti yang banyak dibahaskan sebelum ini. Saya juga tidak melihat sentuhan ala Usmar Ismail, Wim Umboh, Teguh Karya atau Garin Nugroho dari kalangan pembikin filem kita. Maafkan saya, mungkin belum lagi.

Berdasarkan 37 buah filem tahun ini juga, yang menjadi juara setakat ini ialah Adnan Sempit 2, Jalan Kembali, Mael Lambong dan Jangan Pandang-Pandang. Saya percaya semuanya masih jauh sekiranya mahu menandingi filem-filem Ada Apa Dengan Cinta (Rudi Soedjarwo), Lashkar Pelangi (Riri Riza), Ayat-ayat Cinta dan Sang Pencerah (kedua-duanya karya Hanung Bramantyo).
Jadi, di manakah kita sebenarnya?

Saya tidak mengatakan bahawa filem yang berjiwa dan berhati Malaysia tidak ada. Apa lagi untuk menolak wujudnya filem-filem kenegaraan bagi meningkatkan kebanggaan kita. Kita mempunyai pembikin filem seperti U-Wei Haji Shaari, Yasmin Ahmad, Suhaimi Baba, Saw Teong Hin, Dain Iskandar Said, Namewee, sekadar menyebut beberapa nama, yang cuba memberikan wajah dan pengisian sebenar keanekaragaman dan keunikan masyarakat kita di dalam filem.

Jalannya masih jauh dan berliku. Sekiranya pertimbangan filem kita hanya sekadar memberikan apa yang dimahukan oleh penonton, maka filem tempatan akan hanya berlegar-legar di sekitar mengulang formula basa basi dan apa yang dianggap sentuhan komersial. Filem Melayu pada zaman gemilangnya di Singapura pernah melalui jalan itu. Akhirnya filem Melayu tersungkur di negaranya sendiri.

Terlalu banyak yang boleh dipelajari dari pengalaman orang lain dalam filem. Juga pengalaman industri filem di Singapura pada era emasnya.
Malangnya terlalu sedikit yang sebenarnya telah kita pelajari.