Disiplin diet

Disiplin diet

Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
2012/01/22

Individu alami simptom pasca diabetis, golongan berisiko tinggi perlu ubah gaya hidup elak penyakit jadi kronik

BERSEDIA untuk mengubah gaya hidup termasuk diet dan rutin senaman cukup penting bagi mereka yang disahkan mengalami pasca diabetes. Ini termasuk individu yang berisiko tinggi mendapat diabetes jenis dua. Gaya hidup cergas dan disiplin dalam pengambilan makanan amat efektif dalam mencegah atau melengahkan penularan diabetes.

Berikutan diabetes disifatkan berkaitan gaya hidup, sasaran utama dalam kawalan diet adalah untuk mencapai tahap glukos dalam darah yang normal. Individu yang mengalami diabetis jenis satu dan jenis dua yang mengambil insulin atau ubat makan perlu memadankan pengambilan kalori dengan pengambilan ubat atau insulin selain melakukan senaman bagi mengawal tahap glukos dalam darah.

Perunding Endokrinologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Norshinah Datuk Kamaruzaman berkata, selain disiplin diet terancang, pemantauan dengan melakukan ujian tahap glukos sangat penting.

Dr Norshinah berkata, gula dalam darah yang rendah (hypoglycemia) dan gula dalam darah tinggi (hyperglycemia) adalah dua keadaan yang perlu diawasi pesakit diabetes yang mengambil insulin.

“Secara ideal, pesakit perlu mensasarkan bacaan tahap glukos sebelum sajian pada 90 hingga 130 mg/dL dan tahap ketika tidur 110 hingga 150 mg/dL,” katanya kepada Sihat.

Dr Norshinah berkata, pengurusan diet bagi pesakit kencing manis tidak terhad kepada satu ukuran standard. Sebaliknya, beliau berkata, pesakit perlu berbincang dengan pakar pemakanan bagi merancang diet secara individu mengikut garis panduan umum dengan mengambil kira keperluan kesihatan mereka.

Sebagai contoh, pesakit diabetes jenis dua dengan berat badan berlebihan dan kebal insulin mungkin memerlukan keseimbangan protin karbohidrat berbeza dari pesakit diabetes jenis satu yang kurus dan berisiko mengalami penyakit ginjal.

“Disiplin diet pesakit diabetes juga termasuk menimbang dan menyukat makanan bagi mendapatkan jumlah kalori yang betul. Bagi mereka yang baru menyesuaikan diri, guna cawan dan sudu penyukat serta penimbang gram.

“Makanan juga perlu ditimbang dan disukat selepas masak. Selepas menyukat semua makanan selama seminggu atau lebih, kita sudah boleh mengagak sukatan makanan hanya dengan melihat,” katanya.

Dr Norshinah berkata, pesakit diabetes tidak boleh mengambil sikap tidak mahu makan terutama mereka yang mengambil insulin.

“Meninggalkan makan boleh mengganggu keseimbangan antara pengambilan makanan dan insulin. Ini boleh menyebabkan gula dalam darah rendah dan kenaikan berat badan jika pesakit makan berlebihan.

“Secara amnya, mereka perlu makan tiga hidangan mengikut aturan yang ditetapkan. Snek juga sangat penting pada waktu yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata, bagi pesakit diabetes yang ingin berpuasa, beberapa garis panduan perlu dipatuhi sebelum pesakit dibenar berpuasa supaya ibadat itu tidak memudarat dan membahayakan nyawa.

“Sekiranya pesakit merasa kurang sihat, pemeriksaan gula serta merta boleh dilakukan sendiri di rumah menggunakan glucometer bagi memeriksa kandungan gula sama ada tinggi atau rendah.

“Dengan pemantauan yang dilakukan sendiri, pesakit tidak perlu buang masa ke klinik. Selain cabaran hyperglysemia, hypoglysemia dan dehidrasi, kawalan pengambilan ubat juga perlu diuruskan mengikut kesesuaian pesakit,” katanya.

Dr Norshinah berkata, ketika pesakit berpuasa, pengambilan ubat-ubatan sedia ada perlu diteruskan tetapi nisbahnya diterbalikkan atau ditukar, misalnya dos yang biasanya diambil di sebelah pagi akan diambil waktu malam.

“Ini kerana biasanya pesakit akan makan banyak ketika waktu iftar, ini termasuk ubat biji dan suntikan insulin,” katanya.

Dari segi ubat-ubatan, dos yang diambil di sebelah pagi juga boleh dikurangkan jika ketika Ramadan, mereka mengalami hipoglisemia (bacaan tahap gula di bawah 4 mmol/liter). Sekiranya ini berlaku, dua pilihan yang dibenarkan ialah pesakit berbuka puasa atau menahan diri sehingga waktu berbuka puasa.

“Selain itu, pesakit juga perlu memeriksa tahap gula setiap jam. Jika mereka tidak tahan dengan tanda-tanda seperti pening, hilang fokus, rasa tersangat lapar, menggigil, berpeluh dan seram sejuk mereka terpaksalah berbuka puasa dan seterusnya dos ubat harus dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata, dari segi pemakanan pula, amalan bersahur adalah dimestikan kerana kesan ubat yang berpanjangan. Waktu bersahur juga lebih baik dilewatkan. Pilih makanan dengan kandungan karbohidrat (nasi, roti, mi dan pasta) dan protin (ikan, ayam, makanan laut tenusu) kerana ia memberikan tenaga sepanjang hari dan cuba banyakkan minum air ketika bersahur dan berbuka.

“Memakan buah kurma dua hingga tiga biji dibolehkan. Namun, cuba lebihkan air dan elak meminum kordial terlalu banyak. Makanlah secara sederhana dan elak makanan yang berminyak.

“Pesakit saya misalnya akan berikan diari glukos untuk merekodkan bacaan normal di mana sasarannya sama dengan orang normal. Mereka perlu menguji dengan glucometer. Catatan dibuat dua jam selepas makan, dua kali seminggu tetapi jika rasa pening, pesakit perlu memeriksa serta merta.

Jelasnya, masalah hiperglisemia tidak terlalu membimbangkan berbanding hypoglysemia kerana ia sangat merbahaya. Faktor hypoglysemia adalah satu insiden yang perlu diberi perhatian oleh pesakit sendiri, pasangan, ahli keluarga dan sahabat handai. Antara gejala yang jelas ialah berpeluh, sejuk, lapar, sakit kepala, hilang fokus, mata jadi kelabu dan mahu pitam.

“Nasihat saya, jika pergi bekerja, memandu atau menaiki kenderaan awam yang berkemungkinan tersangkut dalam kesesakan lalu lintas, pastikan bekalan karbohidrat berada dekat dengan pesakit.

“Tidak kiralah anda berada dalam kapal terbang, kereta atau dalam bas. Sekiranya hypoglysemia berlaku, pesakit boleh serta merta minum air manis disusuli dengan makan roti, pau, ban ataupun pek makanan seperti sandwic,” katanya.


Minuman berkarbonat disyaki punca

KEHIDUPAN sebagai pesara nyata memberi impak berbeza kepada Raja Abdul Rahman Raja Musa, 55, yang menghidap diabetes atau kencing manis sejak 15 tahun lalu.

Pesara sebuah syarikat cari gali minyak ini mengakui, rutin hariannya berubah selepas bersara. Ini memberinya lebih peluang untuk berehat dan menghabiskan masa di rumah bersama keluarga. Bagaimanapun, Raja Abdul Rahman mengakui ini secara tidak langsung mengganggu pengurusan penyakitnya.

“Setiap pesakit berbeza impak pengurusan penyakit dan faktor yang menyebabkan gula dalam darahnya meningkat. Bagi saya, sejak kebelakangan ini, ia sering tidak menentu dan kerap naik turun kerana tabiat pemakanan yang kurang berdisiplin.

“Walaupun peningkatannya tidak begitu serius, namun pengambilan karbohidrat seperti nasi yang berlebihan menyumbang kepada keadaan ini,” katanya ketika ditemui Berita Minggu di Pusat Perubatan Prince Court di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pesara berasal dari Ipoh, Perak ini menjelaskan, pada minggu awal Ramadan lalu, bacaan gula dalam darah sangat baik dan beliau berasa segar menjalani ibadat berpuasa. Namun, sebagai manusia biasa, keadaan itu secara tidak langsung mendorongnya untuk mengambil makanan yang tidak sepatutnya diambil secara berlebihan sehingga bacaan gula dalam darah meningkat dan tidak menentu.

“Saya teruja dengan bacaan yang baik itu dan mula menyimpang dari diet dan rutin harian sehingga bacaan meningkat. Ini menyebabkan saya sering rasa kurang segar pada waktu pagi dan petang.

“Keadaan begini sering mengheret pesakit kembali kepada doktor yang akan membantu mengubahsuai rutin diet dan pengambilan ubatan dan insulin bagi menurunkan bacaan,” jelasnya lagi yang mengakui jika tidak kerana sokongan keluarga dan anak-anak yang agak tegas memantau kesihatannya, mungkin keadaannya lebih tidak terkawal.

Mengikut pengalaman Raja Abdul Rahman, beliau akan mengambil ubat dua kali sehari iaitu pada waktu bersahur dan berbuka. Bagaimanapun, beliau tidak berani mengambil insulin ketika bersahur kerana pernah mengalami rasa lapar sehingga tidak tahan untuk meneruskan puasa lalu terpaksa berbuka awal kerana bimbang memudaratkan diri.

Bercerita mengenai latar belakang penyakitnya, selain mempunyai ibu dan ayah yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis, beliau percaya tabiat kurang baik yang terlalu gemar minuman berkarbonat ketika muda menjadi antara faktor yang menyebabkan beliau menghidap diabetis.

Malah, akibat keadaan bacaan gula yang tidak menentu, ia menjejaskan penglihatan Raja Abdul Rahman sehingga pakar optometri sukar menentukan kuasa cermin mata yang ideal akibat terlalu kerap berubah-ubah mengikut naik turun tahap kesihatannya.

“Berasa tidak segar dan tidak selesa setiap kali pagi dan petang menjelang bukanlah suatu keadaan yang harus dilalui semua orang. Saya mahu mengingatkan diri sendiri dan semua individu di luar sana, apa saja makanan jika diambil dalam jumlah yang berlebihan pasti akan memudaratkan.

“Ketahuilah had kemampuan diri, cubalah untuk mendisiplinkan diri, jangan menyimpang dari rutin diet dan ubat-ubatan yang ditetapkan serta jangan lupa untuk kerap bersenam,” katanya.