XY
Doktor robot
Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my
2011/12/03
TAKSUBNYA Azwan Abdul Karim dengan karektor robot Transformers memuncak apabila siri kartun animasi itu diangkat menjadi naskhah filem pada 2007.
Berbekal minat, personaliti XY - Ikon Lelaki ini menyelongkar kreativiti dan kepintaran akalnya untuk menghasilkan model robot ubah suai daripada watak Transformers. Ikuti kembara dunia robot bersama Azwan...
TIDAK seperti peminat fanatik yang hanya mengumpul model robot Transformers, jejaka berusia 33 tahun ini sebaliknya boleh berbangga dengan kebolehannya mereka atau mengubahsuai model mainan Transformers.
Hobi Azwan Abdul Karim yang pastinya kesabaran, daya pemikiran tinggi serta kesungguhan, menjadikan beliau dikenali di kalangan peminat robot customised di Malaysia malah di seluruh dunia.
Semuanya bermula daripada model robot ubah suai pertama ciptaannya, Bumble Bee, yang mendapat sentuhan kreatifnya diterima baik di internet.
Bukan pegun seperti kebanyakan model permainan lain, sebaliknya Azwan berjaya menterjemahkan sendiri model ubah suai Bumble Bee mengikut skala 1/24 persis karektor asalnya. Dari sebuah kereta mini kuning berubah menjadi robot.
“Impak filem Tranformers banyak membentuk minat saya kepada penghasilan model customised atau cipta khusus. Peliknya, saya tidak pula tertarik untuk mencipta karektor lain atau meniru model-model lain kerana saya hanya berminat kepada siri Transformers.
“Menariknya, jika kita perhatikan watak-watak ini bertukar, ia memberi inspirasi hingga saya nekad menghasilkan sendiri model customised. Ini kerana tidak ada item seumpama ini di pasaran, lebih-lebih bersaiz besar,” katanya yang sudah menghasilkan kira-kira 40 model ubah suai Transformers yang diadaptasi dari penerbit, Hasbro dan Takara.
Ditanya apa yang menyebabkan Azwan terpanggil mencipta model kegilaan peminat fanatik dari seluruh dunia itu, katanya, selain membesar dengan siri kartun itu, kemampuan robot bertukar kepada bentuk lain mencerminkan daya pemikiran serta tahap genius yang tinggi.
Bagi dirinya, menjadi suatu kebanggaan dan mencabar di luar kotak minda apabila berjaya menghasilkan sesuatu melebihi daya imaginasi sendiri.
“Kita perlu kreatif menyesuaikan bahan untuk menghasilkan robot customised dengan komponen kenderaan yang mampu bertukar menjadi robot. Dalam keadaan tertentu, kita perlu menghasilkan sendiri material seperti tangan, mata dan kepala. Inilah yang menguji keupayaan kita hingga saya terperap berjam-jam dalam bilik,” katanya.
Menyelak sisi berbeza dirinya, Azwan adalah seorang Pensyarah Seni Lukis dan Seni Reka di Institut Profesional Baitulmal, Kuala Lumpur, yang sibuk dengan komitmen tugas dan kelas.
Beliau berkata, bukan mudah untuk menumpukan perhatian menghasilkan model robot ubah suai itu dek tuntutan dan perlunya memberi tumpuan total.
“Disebabkan itu, sebelum memulakan projek, saya melakar dulu pada kertas dan memikir padanan sesuai untuk memastikan robot yang dihasilkan memenuhi sifatnya. Jika tidak mampu bertukar fungsi, lebih baiklah ia digelar action master saja,” katanya.
Perang berpanjangan Autobots yang dipimpin Optimus Prime menentang Decepticons diketuai Megatron, ikuti kisah obsesi Azwan serta kongsi sasaran beliau memahat nama dalam Malaysian Book of Records (MBR)...
Bagaimana timbul idea hingga anda mampu menghasilkan model customised Transformers?Saya lihat tidak banyak model ubah suai Transformers di pasaran. Ini kerana jika diperhatikan, memang mustahil dan sukar untuk menukar kereta kepada robot tanpa perlu kita mengubah struktur asal.
Atas dorongan itu, saya fikir, mengapa tidak mencuba. Memang sukar terutama untuk mendapatkan material selain daya kesabaran dan kesungguhan tinggi. Bagi model Bumble Bee generasi pertama yang saya hasilkan sendiri, ia mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.
Mengapa anda pilih robot Transformers dan bukan model lain?Karektor serta efek Transformers menjadikan saya seorang peminatnya dari dulu hingga sekarang. Faktor karektor yang bertukar objek lain menjadikan ia tambah menarik.
Apa yang menjadi cabaran kepada saya ialah untuk mengaplikasikan semula karektor Transformers menjadi model sebenar atau realiti. Inilah cabarannya!
Bagaimana anda mendapatkan material melakukan hobi ini dan apa pula kepuasan yang anda peroleh?Memang jika kita lihat, tidak ada bahan mentah atau material yang boleh kita suai padankan menjadi karektor dalam Transformers. Di sinilah cabaran untuk saya. Ini kerana saya perlu mencari sendiri komponen yang difikir sesuai untuk diaplikasikan.
Pada masa sama, saya perlu memikirkan kegunaan dan fungsi untuk tujuan customised. Bukan satu tugas mudah. Ini kerana ada kalanya ia tidak menjadi dan tidak boleh bertukar bentuk seperti imaginasi saya.
Namun, bahan komponen yang tidak sesuai sebenarnya masih lagi berfungsi untuk model-model lain.
Bercerita soal cabaran, tentu tidak terlepas pada fasa tertekan dalam cubaan menghasilkan model customised. Boleh anda ceritakan pengalaman ini?Tidak dinafikan, bukan semua yang diilham menjadi nyata. Kadang-kadang, sesuatu yang dirasakan ringkas dan mudah sebenarnya sukar. Apatah lagi jika sudah
separuh jalan dihasilkan, tiba-tiba transformasi yang dikehendaki tidak menjadi.
Namun, apabila apa yang dihajati, dapat dicapai, memanglah gembira. Lebih gembira apabila keluarga, peminat Transformers dari seluruh dunia memberi komen mengagumkan.
Apakah anda beroleh pendapatan tinggi dalam bidang ini?Saya ada profesion baik tetapi diakui, jika bidang ubah suai model robot ini dilakukan sepenuh masa, ia mampu menyumbang pendapatan lumayan.
Berapa lamakah tempoh untuk anda menyiapkan satu-satu model customize Transformers?Bergantung pada karektor serta tahap kesukaran untuk model customised. Paling cepat tiga hari, itu bagi model yang mudah. Tetapi ada model tertentu mengambil masa berbulan-bulan.
Ketika ini, saya sedang menyiapkan model generasi ketiga dan keempat Transformers. Selain perlu membahagikan waktu, kerja ini juga banyak bergantung kepada mood.
Anda nyatakan pernah berkurung berjam-jam dalam bilik untuk mencipta robot ubah suai. Bagaimana anda boleh leka melakukannya?Kerja mencipta robot ubah suai ini memerlukan banyak masa dan ketenangan. Lebih-lebih lagi saya melakukan kerja ini separuh masa atau pada hujung minggu.
Andai saya duduk dan melakukan kerja dari jam 8 pagi hingga 12 tengah malam, sudah tentu kerja yang mungkin boleh mengambil tempoh enam bulan dapat disiapkan dalam masa dua minggu. Namun, diakui kita bukanlah robot kerana mahu lakukan pelbagai perkara pada waktu sama.
Lagipun tugas ini memerlukan saya melakukan kerja rumit seperti menggerudi, pateri hinggalah menyembur.
Ramaikah kumpulan pencipta robot ubah suai di Malaysia dan bagaimana pula penerimaan masyarakat terhadap hobi ini?Bilangannya sangat kecil. Ini kerana lebih ramai penggiat menumpukan aktiviti pada proses airbrush. Jarang ditemui customiser melakukan kerja-kerja ubah suai robot secara serius atau Scratchbuilts.
Namun, bidang ini makin berkembang maju termasuk di Malaysia. Ini kerana masyarakat makin peka dengan industri permainan selepas banyak didedahkan dalam filem.
Apakah inisiatif anda dalam mengembangkan hobi ubah suai robot di Malaysia?Saya bersama peminat menubuhkan kumpulan dikenali Malaysian Customizer (MC) di Facebook. Selepas setahun ditubuhkan, kumpulan ini berjaya menghimpunkan 100 ahli. Kemuncaknya, kita berjaya mengadakan pameran sulung Malaysia International Toyfair di Mid Valley, September lalu.
Ahlinya kumpulan ini merangkumi customiser Transformers, Starwars, Gundam, Diorama, Doll, Costume dan banyak lagi.
Sasar 12.12.12SEKALIPUN berjaya mencipta pelbagai model transformers sejak 2007, Azwan belum puas dengan pencapaiannya. Dalam nada bersemangat, jejaka kelahiran Jerantut, Pahang ini memasang angan-angan membangunkan model robot setinggi lima kaki yang mampu bertukar bentuk dan karektor.
Menceritakan misi yang sudah dimulakan sejak setahun setengah lalu itu, Azwan berkata, beliau bercadang menghasilkan model Masterpiece Metroplex yang bukan saja berdiri megah pada ketinggian hampir sama dengan manusia, malah mampu bertukar kepada tiga fungsi lain iaitu sic-gun (benteng pertahanan), berubah kenderaan dan akhirnya menjadi kereta kebal.
“Sepatutnya, saya siapkan model metroplex ini Jun lalu. Namun, memikirkan menarik jika ia siap pada 11.11.11, ia tambah menarik. Namun, soal masa membataskan hasrat itu lalu saya sasarkan pula 12.12.12 untuk menyiapkan projek ini,” katanya Azwan yang turut mendapat bantuan dana daripada Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya (UM) bagi merealisasikan impian itu.
Apabila siap kelak, Azwan bercadang menghantar permohonan kepada Malaysian Book of Records (MBR) bagi kategori penghasilan model robot masterpiece metroplex yang boleh berubah fungsi.
Bercerita lanjut mengenai projek itu, Azwan berkata, setakat ini hampir 70 peratus daripada kerja sudah siap.
“Dalam menghasilkan robot itu, saya menggunakan pembahagi jalan, paip PVC dan kandungan lain yang difikir sesuai untuk merealisasikan sebuah robot dengan tinggi lima kaki,” katanya yang juga berharap diiktiraf Guinness World Records atas inisiatifnya mencipta robot itu.
Profil: Azwan Abdul KarimUmur: 33 tahun
Tarikh lahir: 27 Disember 1977
Tempat lahir: Sungai Mai, Jerantut, Pahang
Status: Berkahwin
Antara pencapaian & kejayaanJohan Triple Threat Challenge on Sector70.com 2010 Peringkat Antarabangsa.
Transtopia Masterclass Artist on Seibertron.Com 2010.
Koloborasi bersama artis Amerika Syarikat, Frenzy Rumble dalam Masterpiece Predaking Projects 2009.
Artis jemputan Taman Tema Universal Studios Singapura pada 2008.
Pemenang hadiah utama Pameran Media Seni VIII Universiti Malaya 2009.