Drebar disyaki mengantuk punca tragedi
Slim River: Kemalangan yang meragut nyawa seorang pemandu bas ekspres, manakala 12 lagi cedera termasuk empat parah di Kilometer 362.7, Lebuh Raya Utara-Selatan di Trolak, dekat sini, malam kelmarin, dipercayai akibat pemandunya mengantuk.
Ketika kejadian kira-kira jam 10.45 malam, bas KLB Ekspres berkenaan dipercayai dipandu laju sebelum merempuh belakang treler yang membawa muatan besi seberat 30 tan.
Rempuhan kuat itu menyebabkan bas terbabit melekat pada belakang treler, selain menolak kenderaan berat itu sejauh kira-kira 130 meter ke depan sebelum terhenti di lorong kecemasan.
Kejadian di arah utara lebuh raya berdekatan Maktab Rendah Sains MARA FELDA (MRSMF) itu turut menyebabkan beberapa beberapa penumpang dan bangku depan bas berkenaan tercampak keluar.
Pemandu yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai Hussain Jaafar, 29, dengan kedua-dua kakinya dikatakan hancur selain robek di bahagian pinggang.
Pemandu PLKN
Mangsa yang berasal dari Kampung Dato Manan Tiak, Kupang, Kedah dan masih bujang adalah pemandu bas di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sungai Limau, Kedah, tetapi menggunakan cuti panjang pelatih PLKN untuk bekerja sambilan membawa bas ekspres jketika kejadian.
Mayatnya dibawa ke Hospital Slim River (HSR) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya, semalam.
Penumpang bas cedera ialah pasangan suami isteri Che Yusoff Che Ani, 39, dan Lenny Haryani Ariani yang juga warga Indonesia, 23; D Kuhan, 22, dan teman wanitanya, R Kumutha, 23; Nur Farrah Diana Jamil, 13; Mohd Hafizul Zuljabil, 25; Muhammad Radzuan Hassan, 26; Syed Muhammad Saffi Syed Makhadzir, 31; Leow Sun Sun, 37; Husni Mustaphah, 46; Ooi Beng Chin, 48, dan seorang lagi hanya dikenali sebagai Shakina, 24.
Lima lagi penumpang dan pemandu kedua bas tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nanyan, berkata ketika kejadian bas berkenaan yang membawa 19 penumpang termasuk pemandu kedua dalam perjalanan dari Klang, Selangor menuju ke Butterworth, Pulau Pinang.
“Mayat pemandu bas dan empat penumpang yang parah serta lapan yang cedera ringan dibawa ke HSR. Kita masih menjalankan siasatan lanjut kemalangan itu termasuk mendapatkan keterangan saksi kejadian,” katanya sambil mengesahkan pemandu treler terselamat.
Mangsa tercampak keluar
Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Md Zin Mohd Saidin berkata, pasukan penyelamat yang tiba di lokasi kejadian mendapati bas ekspres berkenaan melekat belakang treler.
“Kita dapati beberapa kerusi penumpang hadapan tercampak keluar bersama mangsa manakala pemandu tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kita mengarahkan pemandu treler bergerak ke depan bagi memudahkan kerja mengeluarkan mayat dan penumpang lain dikeluarkan dari bas,” katanya.