PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan pelbagai program bersama bagi mengurangkan kes keracunan makanan di sekolah khususnya di sekolah rendah, yang disifatkan masih membimbangkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata Pelan Tindakan Keselamatan dan Kualiti Makanan yang komprehensif dan menyeluruh diwujudkan dengan KPM dan agensi berkaitan bagi tujuan itu.
Subramaniam berkata, daripada 291 kes keracunan makanan yang dilaporkan sehingga Julai tahun ini, 81 kes keracunan makanan membabitkan 2,452 pelajar (7.6 peratus) daripada 32,091 pelajar yang terdedah.

"Pada tahun lalu, sebanyak 454 episod keracunan makanan dilaporkan di seluruh negara dan daripadanya 115 episod atau 25 peratus berlaku di sekolah.

"Ia didapati akibat makanan yang disediakan di kantin atau dapur asrama sekolah yang mana 4,117 pelajar menjadi mangsa keracunan makanan," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Anugerah Kantin Sekolah Bersih Peringkat Kebangsaan 2012, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan 11, P Kamalanathan, Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM Noraini Datuk Mohd Othman dan Pengarah Bahagian Pemakanan Jabatan Kesihatan Awam Rokiah Don.

Subramaniam berkata, beradasarkan Laporan Awal Wabak Penyakit Makanan dan Air Malaysia, faktor utama yang dikenal pasti kepada keracunan makanan ialah: bahan mentah tercemar; pencemaran silang dari tangan pengendali dan peralatan kepada makanan; tempoh penyimpanan makanan melebihi empat jam pada suhu yang tidak sesuai.
Selain itu, katanya, pengendali makanan yang tidak terlatih; proses memasak yang singkat menyebabkan makanan tidak masak dengan sempurna dan proses nyah beku tidak sempurna bagi bahan mentah sejuk beku juga mengakibatkan keracunan makanan di sekolah.

Katanya, menu utama yang dikenal pasti menjadi punca keracunan makanan adalah menu yang berasaskan nasi seperti nasi lemak dan nasi ayam, ayam, mi goreng, ikan masak sambal dan kari daging.

"Antara tindakan yang dijalankan adalah aktiviti pemantauan dan pemeriksaan rutin di kantin dan dapur asrama sekolah bagi memastikan supaya tahap kebersihan kantin dan dapur asrama sekolah adalah bersih dan memuaskan," katanya.

Katanya, tahun lalu Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan memeriksa 8,288 kantin sekolah dan mengarahkan 112 kantin sekolah (1.4 peratus) ditutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1988 kerana tahap kebersihan yang tidak memuaskan.

Sehingga Jun tahun ini, 7,224 kantin sekolah diperiksa dan 98 daripadanya diarah tutup atas kesalahan yang sama.

Katanya, selain penyediaan makanan bersih dan berkualiti di sekolah, kerajaan juga memandang serius terhadap barangan makanan yang dijual di sekolah dan di luar kawasan sekolah bagi menangani masalah obesiti di kalangan pelajar.

"Kajian menunjukkan obesiti di kalangan kanak-kanak dan remaja berumur 18 tahun ke bawah telah meningkat kepada 26 peratus, satu angka yang membimbangkan. Kita perlu cari penyelesaian segera, kalau tidak ia akan membawa pelbagai masalah bila mereka besar nanti," katanya.

Menyentuh pertandingan kantin sekolah bersih, Subramaniam berkata ia diadakan untuk meningkatkan kesedaran pengendali makanan, guru-guru dan pelajar supaya makanan yang dijual di kantin sekolah adalah selamat.

Sebanyak 41 buah kantin sekolah rendah bandar dan 35 kantin sekolah rendah luar bandar menyertai pertandingan kali ini.

- BERNAMA